Literasi kewangan belia sangat membimbangkan - Tengku Amir

Iklan
Tengku Amir (tengah) ketika Program Dialog Diraja dan Sesi Rangkaian Perniagaan Nadi di Hyprground Pickleball, Seksyen 19 di sini pada Khamis.

PETALING JAYA - Tahap kesedaran dan literasi kewangan dalam kalangan golongan muda ketika ini amat membimbangkan, terutama apabila ramai yang terjebak dalam perbelanjaan berlebihan sehingga berdepan masalah kewangan.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, bertitah bahawa berdasarkan statistik nasional, kira-kira 20 peratus individu yang diisytiharkan muflis terdiri daripada golongan muda berusia 35 tahun ke bawah.

Iklan
Iklan

Baginda bertitah, antara punca keadaan tersebut termasuk penggunaan kad kredit secara berlebihan serta kecenderungan membeli kenderaan dan barangan yang tidak semestinya diperlukan.

"Mereka berbelanja secara berlebihan menggunakan kad kredit, membeli kereta dan pelbagai barangan, dan keadaan ini amat membimbangkan," titah baginda ketika Program Dialog Diraja dan Sesi Rangkaian Perniagaan Nadi di Hyprground Pickleball, Seksyen 19, di sini pada Khamis.

Iklan

Baginda bertitah bahawa keadaan kewangan golongan muda turut dapat dilihat semasa pandemik Covid-19 apabila ramai yang tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menghadapi keadaan luar jangka.

Baginda turut merujuk statistik berkaitan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menunjukkan bahawa sebahagian individu kini mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000.

Iklan

"Literasi kewangan di negara kita masih tidak begitu baik. Dalam kalangan belia pula, keadaan ini lebih membimbangkan kerana mereka mahu bergerak pantas dalam kehidupan, menjadi sebahagian daripada masyarakat dan memiliki pelbagai barangan.

"Kita memerlukan disiplin yang lebih baik, bukan sahaja dalam aspek kesihatan, malah juga dalam aspek kewangan, dan ia perlu bermula melalui pendidikan sejak usia muda," titah baginda.

Tengku Amir turut menegaskan bahawa terdapat salah faham dalam kalangan golongan muda yang menganggap kenderaan sebagai aset, sedangkan nilainya lazimnya menyusut selepas dibeli.

"Mereka menganggap kereta sebagai aset, sedangkan hakikatnya tidak. Ini antara salah faham yang perlu diperbetulkan," titah baginda.

Pada masa sama, baginda mengingatkan masyarakat agar tidak menunggu sehingga berdepan kesulitan kewangan yang serius sebelum mula mengubah tabiat perbelanjaan dan pengurusan kewangan.

"Pendidikan kewangan sejak usia muda amat penting bagi membentuk generasi yang lebih berdisiplin dan bersedia menghadapi ketidaktentuan ekonomi," tegas baginda.