SHAH ALAM - Resorts World Kijal (RWK) bakal meraikan ulang tahunnya yang ke-30 menerusi Festival Ulang Tahun ke-30 Resorts World Kijal 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad ini.
Resorts World Genting (RWG) dalam satu kenyataan berkata, festival dari 28 hingga 30 Ogos itu menghimpunkan pelbagai aktiviti hiburan, sajian tempatan, pengalaman kekeluargaan dan program berteraskan kelestarian bagi meraikan tiga dekad resort berkenaan dalam industri hospitaliti di Pantai Timur.
Menurutnya, sambutan tersebut akan dirasmikan pada 28 Ogos dengan persembahan kebudayaan dan acara simbolik pelepasan anak penyu.
"Sejak mula beroperasi pada 1996 dengan nama Awana Kijal, RWK telah berkembang menjadi antara destinasi peranginan tepi pantai terkenal di Terengganu yang menjadi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa.
"Festival ulang tahun ke-30 ini turut meraikan perjalanan tiga dekad resort berkenaan menerusi pelbagai aktiviti yang menggabungkan keindahan pantai dengan warisan dan budaya Terengganu.
"Sepanjang festival, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai aktiviti termasuk tarian tradisional, gamelan, demonstrasi silat dan persembahan artis tempatan serta pemuzik jalanan," katanya pada Khamis.
Tambah RWG, pengalaman kulinari turut menjadi antara tarikan dengan pelbagai hidangan tempatan dan juadah tradisional Terengganu, sajian kopi istimewa serta demonstrasi masakan secara langsung.
Jelasnya, pengunjung juga boleh menerokai pelbagai gerai yang menawarkan produk tempatan seperti kraftangan, batik, produk kesihatan dan kecantikan serta barangan unik yang mencerminkan kreativiti warisan masyarakat setempat.
"Bagi keluarga, pelbagai aktiviti menanti termasuk Turtle Fun Run, Sukan Rakyat dan zoo mini, manakala suasana pada waktu malam bakal dimeriahkan dengan persembahan busker, pertunjukan api dan bunga api sebagai acara kemuncak.
"Sambutan itu turut mengetengahkan usaha pemuliharaan alam memandangkan Pantai Kijal merupakan antara kawasan pendaratan penting bagi spesies Penyu Agar (Green Turtle) dan Penyu Karah (Hawksbill Turtle)," ujarnya.
RWG memberitahu, program pelepasan anak penyu akan diadakan setiap hari sepanjang festival, selain pengunjung boleh mengambil bahagian dalam aktiviti kelestarian seperti gotong-royong membersihkan pantai, penanaman pokok dan program kesedaran alam sekitar.
Katanya, bagi mereka yang ingin meneroka pengalaman pemuliharaan penyu di luar tempoh festival, RWK turut menawarkan pakej percutian khas ‘Be A Seaturtle Superhero’ sehingga 31 Oktober ini pada harga RM740 untuk ahli Genting Rewards Card dan RM800 bagi bukan ahli.
"Festival Ulang Tahun ke-30 Resorts World Kijal 2026 menjadi tanda penghargaan kepada tetamu, kakitangan, rakan kerjasama dan komuniti setempat.
"Selain mencerminkan komitmen berterusan RWK dalam menawarkan pengalaman hospitaliti yang menghubungkan pengunjung dengan keindahan alam serta kekayaan budaya tempatan," ulasnya.