700 kibar Jalur Gemilang raikan satu abad SK Ladang

Iklan
Kesemua murid bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan 100 tahun legasi SK Ladang dan kempen kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

KUALA TERENGGANU – Detik bersejarah terpahat di Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang apabila kira-kira 700 warga sekolah termasuk murid, guru, alumni serta komuniti setempat berhimpun mengibarkan Jalur Gemilang bagi meraikan ulang tahun ke-100 sekolah berkenaan.

​Suasana penuh warna-warni itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, malah menjadi simbolik kecintaan terhadap negara selain memperingati perjalanan panjang institusi pendidikan berkenaan yang kini genap berusia satu abad.

Iklan
Iklan

​Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Ladang, Wan Amal Firdaus Wan Mohamad berkata, penglibatan pelbagai pihak dalam kempen mengibarkan Jalur Gemilang itu amat membanggakan, khususnya apabila bekas pelajar turut kembali bagi meraikan detik bermakna tersebut.

​Menurutnya, PIBG memainkan peranan penting dalam menghimpunkan alumni, menggerakkan dana sumbangan serta bekerjasama rapat dengan barisan pendidik bagi memastikan pengisian pelbagai program sempena sambutan 100 tahun sekolah dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Iklan

​“Semangat dan sokongan daripada ibu bapa, alumni serta komuniti amat luar biasa. Ada dalam kalangan bekas pelajar yang sanggup pulang dari perantauan semata-mata mahu menjadi sebahagian daripada sejarah ulang tahun ke-100 SK Ladang.

​“Pengibaran Jalur Gemilang secara serentak ini menjadi simbol semangat kebersamaan dan kecintaan terhadap tanah air, selari dengan usaha kita menyemai nilai patriotisme dalam jiwa murid,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Iklan

​Mengulas lanjut, Wan Amal Firdaus berkata, kempen tersebut lebih bermakna apabila dilaksanakan bersempena usia SK Ladang yang sudah bertapak selama 100 tahun dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan melahirkan generasi berguna.

​Jelas beliau, antara sumbangan istimewa hasil inisiatif PIBG, ibu bapa dan alumni sempena sambutan satu abad itu ialah pembinaan Tugu 100 Tahun Legasi SK Ladang.

​Katanya, tugu berkenaan didirikan hasil sumbangan pelbagai pihak sebagai mercu tanda memperingati perjalanan SK Ladang yang tidak pernah lelah berkhidmat kepada anak bangsa sepanjang tempoh satu abad.

​“Mercu tanda ini menjadi simbol bahawa SK Ladang mempunyai sejarah dan legasi tersendiri dalam dunia pendidikan serta telah melahirkan ramai insan berguna untuk agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Antara alumni SK Ladang yang kembali ke sekolah tersebut bagi meraikan sambutan 100 tahun dan legasi SK Ladang pada Khamis.

​Tambah beliau, pihak PIBG turut memberi perhatian serius terhadap usaha meningkatkan kemudahan sekolah, termasuk merealisasikan pembinaan Anjung Ilmu atau Wakaf Ilmu yang bakal berfungsi sebagai sudut bacaan dan ruang speaker corner buat murid.

​Selain itu, penambahbaikan peralatan serta infrastruktur bangunan sekolah juga diberikan keutamaan bagi memastikan murid dapat menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.

​Wan Amal Firdaus berkata, PIBG akan terus komited menjadi penghubung utama antara ibu bapa, guru dan murid bagi memacu agenda pendidikan serta membentuk generasi cemerlang dari segi akademik dan sahsiah.

​Katanya lagi, sambutan 100 tahun SK Ladang bukan sekadar meraikan usia sebuah sekolah, sebaliknya menjadi platform terbaik untuk menghargai jasa warga sekolah terdahulu di samping menyemaikan semangat patriotisme dalam kalangan generasi baharu.

​Beliau berharap jalinan kerjasama erat antara PIBG, pihak pentadbir, guru, alumni dan komuniti akan terus diperkasakan demi memastikan legasi kecemerlangan SK Ladang dapat diwarisi generasi akan datang.

​“Semoga PIBG bersama pentadbir SK Ladang terus seiring dan sekata dalam membentuk sahsiah murid serta melahirkan generasi yang cemerlang dalam pelbagai bidang,” katanya.

Sementara itu, Alumni SK Ladang, Datuk Mohamed Nasir Ibrahim Fikri mengimbau kenangan beliau sewaktu bergelar warga sekolah berkenaan sekitar tahun 1964 hingga 1965 bagi darjah satu dan dua, sebelum berpindah ke Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 (SKSS1) pada 1966.

​Menurut beliau, biarpun sekolah berkenaan mempunyai kawasan yang agak sempit, pelbagai perubahan telah berlaku khususnya dari sudut struktur bangunan sekolah berbanding era terdahulu, di samping melahirkan ramai tokoh dan insan yang berjaya dalam pelbagai bidang.

​“Walaupun berada dalam kawasan yang sempit, sekolah ini wajar kekal beroperasi memandangkan ia merupakan antara sekolah tertua yang berjarah di Terengganu. Kekurangan ruang bukan halangan kerana kita boleh berkongsi kemudahan di kawasan lain.

​“Apa yang penting untuk masa kini, kita perlu terus menambah kemudahan agar pelajar mendapat persekitaran dan nilai yang cukup istimewa,” katanya.