SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan unit integritinya mengambil tindakan selanjutnya berhubung kematian murid berusia 11 tahun dari sebuah sekolah rendah di Kedah, Allahyarhamah Nur Qaira Alisha Ahmad ‘Ilwan selaras dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, beliau juga dimaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah telah menjalankan siasatan berhubung aduan yang dikemukakan keluarga Allahyarhamah.
“Saya telah mengarahkan Unit Integriti (KPM) untuk mengambil tindakan selanjutnya selaras dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa serta berlandaskan prinsip keadilan kepada semua pihak.
“Saya mengikuti dengan penuh rasa dukacita pemergian Allahyarhamah anakanda Nur Qaira Alisha. Saya merakamkan ucapan takziah kepada ibu bapa serta seluruh keluarga atas kehilangan yang amat berat ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini tular perkongsian bapa mangsa di media sosial yang mendakwa anaknya itu yang mengalami masalah jantung diarahkan oleh seorang guru untuk menyertai aktiviti larian pada pemilihan rumah sukan walaupun surat pengesahan mengenai penyakitnya itu telah diberikan.
Akibat kejadian tersebut, Nur Qaira Alisha didakwa hanya mampu terlantar dan terpaksa memakai oksigen seumur hidup sebelum mangsa dilapor meninggal dunia pada jam 7.49 malam Rabu.
Fadhlina menegaskan, KPM memandang serius setiap perkara yang melibatkan keselamatan dan kebajikan murid.
Menurutnya, keutamaan kementerian ketika ini adalah memastikan keluarga Allahyarhamah diberikan ruang serta sokongan sewajarnya dalam menghadapi kehilangan tersebut.
Beliau turut mendoakan keluarga murid berkenaan diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian tersebut.
“Semoga keluarga Allahyarhamah anakanda Nur Qaira Alisha diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini,” ujarnya.