KANGAR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil kesempatan menziarahi Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin di kediamannya di Sanglang di sini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menziarahi pemimpin Pas itu sebelum bergerak ke Alor Setar untuk merasmikan Konvensyen Usahawan Bumiputera (KUB) 2035.
Menurutnya, beliau berasa gembira melihat keadaan kesihatan Hashim yang semakin pulih ketika kunjungan tersebut.
“Alhamdulillah, hati saya cukup gembira melihat keadaan kesihatan Tuan Guru yang semakin pulih.
“Kami sempat berbual, bertanya khabar dan saling mendoakan. Pertemuan yang ringkas, tetapi cukup bermakna,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Khamis.
Pada Mac lalu, media melaporkan tahap kesihatan Hashim yang sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) semakin pulih dan menunjukkan perkembangan positif.
Sebelum ini Hashim menerima rawatan akibat masalah kesihatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) sejak 9 Februari lalu.
Beliau kemudiannya dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP berikutan keadaannya yang memerlukan rawatan serta pemerhatian lanjut pakar.
Ahmad Zahid berkata, beliau sentiasa menghormati Hashim sebagai seorang ilmuwan yang telah lama mendidik masyarakat dan memberikan panduan kepada ummah.
Beliau turut mendoakan supaya Allah SWT terus mengurniakan Hashim kesihatan yang baik serta memanjangkan usia beliau dalam keberkatan.
“Semoga Allah SWT terus memberikan kekuatan untuk terus menyumbang kepada agama, ummah dan negara,” ujarnya.