Dua keluarga berjiran gaduh gempar, saling memukul dihadapkan ke mahkamah

Iklan
Mengikut pertuduhan, kesemua lima meraka didakwa melakukan gaduh gempar dengan memukul antara satu sama lain di tempat awam

MELAKA - Pergaduhan antara dua keluarga berjiran dipercayai berpunca daripada isu sampah membawa padah selepas mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Khamis atas pertuduhan gaduh gempar.

Tiga beranak iaitu W Norizan W Husain, 50, bersama anaknya, Nurathirah Natashha Kamarul Zaman, 28, dan Muhammad Alif Najmi Kamarul Zaman, 21, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, jiran mereka, Md Isaa Osman, 62, dan isterinya, Deni Rismayani Purba, 53, tidak mengaku bersalah atas pertuduhan sama.

Dari kanan Deni, Nurathirah Natasha dan W Norizan beriringan keluar dari Mahkamah Majistret sejurus selepas selesai pertuduhan dibacakan. Foto: Sinar.

Iklan

Mengikut pertuduhan, kesemua lima meraka didakwa melakukan gaduh gempar dengan memukul antara satu sama lain di tempat awam di Jalan Permatang Pasir, Alai di sini sekitar jam 3.45 petang pada 15 Oktober 2025.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Iklan

Difahamkan, kejadian tercetus selepas cucu kepada W Norizan, berusia 11 tahun, dimarahi jiran tersebut kerana membuang sampah hingga masuk ke kawasan rumahnya.

Perselisihan faham itu kemudian berlarutan sebelum berlaku pertengkaran yang membawa kepada pergaduhan lebih serius.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri, manakala Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Mawardi Zainudin mewakili tertuduh.

Siti Nur Alia mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap Md Isaa sementara tiada jaminan ditawarkan kepada Deni yang berstatus warga Indonesia.

Muhammad Alif Najmi (kanan) dan Md Isaa dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas pertuduhan dibacakan.Foto: Sinar.

Bagaimanapun, Mawardi memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan lebih rendah terhadap Md Isaa yang tidak bekerja hanya membantu isterinya berniaga dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan selain menganggung seorang anak berusia 20 tahun yang masih belajar di peringkat diploma.

Mahkamah kemudian membenarkan Md Isaa dan Deni diikat jamin RM1,000 serta menetapkan 12 Oktober depan untuk penyerahan dokumen dan urusan lantikan peguam.

Sementara itu, Mawardi turut memohon hukuman ringan terhadap tiga beranak yang mengaku bersalah, dengan alasan pengakuan itu menjimatkan masa serta kos mahkamah dan pendakwaan.

Menurutnya, ketiga-tiga tertuduh menyesal atas perbuatan tersebut, selain ini merupakan kesalahan pertama mereka dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM600 setiap seorang atau penjara selama sebulan jika gagal membayar denda.