'Macam mana kita nak pulangkan duit yang sudah diberikan kepada rakyat?'- ADUN PH

Iklan
Arul Kumar menunjukkan surat daripada Pejabat Menteri Besar yang meminta laporan peruntukan Pusat Khidmat DUN dan laporan kesejahteraan rakyat bagi tahun 2026. Foto Sinar Harian

SEREMBAN - Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan memohon kerajaan negeri mempertimbangkan semula arahan pemulangan peruntukan yang diterima bagi tempoh Julai hingga September susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 5 Jun lalu.

Wakil ADUN pembangkang, J Arul Kumar berkata, kesemua ADUN telah menggunakan sebahagian daripada peruntukan tersebut untuk kebajikan rakyat, malah ada yang telah menggunakannya sepenuhnya.

Iklan
Iklan

"Kita tidak menggunakan dana ini untuk kegunaan sendiri ataupun untuk tujuan politik, tetapi semuanya digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan," katanya dalam sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Seremban pada Khamis.

Arul Kumar (empat dari kiri) dan ADUN PH membuat sidang media berkenaan isu peruntukan yang diminta dipulangkan. Foto Sinar Harian

Iklan

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seramai 17 ADUN PH dan dua penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada kerajaan Negeri Sembilan terdahulu dikehendaki memulangkan semula peruntukan yang diterima bagi tempoh Julai hingga September susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada Rabu selepas isu peruntukan berkenaan dibangkitkan dalam sidang khas DUN sebelum ini.

Iklan

Menurutnya, daripada 17 ADUN terbabit, tujuh bertaraf Exco, manakala 10 lagi ialah ADUN biasa.

"Setiap Exco dikehendaki memulangkan peruntukan berjumlah RM150,000 bagi tempoh Ogos hingga September, ADUN biasa sebanyak RM174,000 bagi tempoh Julai hingga September, manakala penyelaras DUN pula RM150,000 bagi tempoh Julai hingga September," katanya.

Mengulas lanjut, Arul Kumar berkata, agak sukar untuk peruntukan tersebut dipulangkan semula, ditambah pula dengan amaun yang tinggi.

ADUN Nilai itu turut menjelaskan bahawa peruntukan tersebut disalurkan mengikut suku tahunan, bukannya mengikut bulan.

"Ikut sidang media Menteri Besar semalam, beliau meminta supaya kita memulangkan peruntukan itu mengikut bulan, sedangkan peruntukan itu disalurkan mengikut suku tahunan.

"Tapi tidak dinyatakan pun bahawa setiap bulan kita perlu menggunakan jumlah tertentu. Itu terpulang kepada ADUN masing-masing bagaimana nak menguruskannya kerana mungkin berlaku apa-apa insiden kecemasan yang memerlukan lebih banyak peruntukan digunakan," katanya.

Selain itu katanya, berdasarkan semakan yang dibuat, semua ADUN PH dan dua penyelaras telah menghantar laporan kewangan sehingga 30 Jun lalu kepada Pejabat Menteri Besar seperti yang diarahkan, manakala baki peruntukan yang masih ada telah dipulangkan sebelum 10 Julai.

Ini bermakna katanya, berdasarkan surat tersebut, semua ADUN boleh menggunakan peruntukan yang diterima pada 4 Jun lalu sehingga 30 Jun.

"Jadi macam mana kita nak pulangkan duit itu sekarang? Duit yang kita sudah belanjakan kepada rakyat, nak bagi balik macam mana?

"Malah, ada juga beberapa penerima yang telah menghubungi kita dan bertanya sama ada perlu memulangkan semula duit sumbangan yang diterima," katanya.

Arul Kumar berkata, beliau akan bertemu Menteri Besar bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara itu selepas menerima surat rasmi daripada kerajaan negeri.

Beliau juga berharap kerajaan negeri dapat menyemak semua laporan kewangan serta bukti agihan yang telah dikemukakan.

"Yang paling penting, kita gunakan duit ini untuk rakyat, bukannya untuk tujuan politik dan semua rekod telah pun diberikan kepada Pejabat Menteri Besar," katanya.