KULAI - Dua mekanik termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) lembam didakwa di Mahkamah Majistret Kulai kerana menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya di Lebuhraya Linkedua, Gelang Patah minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Riduan Abd Ghani, 26, dan Muhamad Aiman Izzuddin Sukri, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dihadapan Majistret, R Salini.
Mengikut pertuduhan, mereka yang menunggang motosikal Yamaha didakwa menunggang secara melulu dan merbahaya kepada pengguna jalan raya lain di Lebuhraya Linkedua, jam 7 pagi, 22 Ogos lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut akta sama yang memperuntukkan penjara lima tahun, denda RM15,000 dan boleh hilang kelayakan memiliki lesen memandu jika bersalah.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Weng Hong manakala Mohamad Riduan diwakili peguam R. S. Amarpreet Singh dan Muhamad Aiman Izzuddin diwakili Abd Rahim Ali.
Dalam rayuannya, kedua-dua peguam memohon jaminan dikurangkan kerana Mohamad Riduan menanggung isteri dan bapa manakala Muhamad Aiman Izzuddin merupakan OKU.
R Salini kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Kes disebut semula 5 Oktober depan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee mengesahkan, sembilan lagi suspek terlibat termasuk pempengaruh permotoran yang bertindak menutup jalan demi berlumba haram dibebaskan dengan jaminan polis pada Rabu dan Khamis.
Terdahulu, lapan individu termasuk pempengaruh permotoran direman pada Isnin manakala tiga lagi direman semalam kerana disyaki terbabit menutup jalan demi berlumba haram di Lebuhraya Linkedua, 7 pagi 22 Ogos lalu.
Video perlumbaan dua motosikal itu kemudiannya tular di media sosial yang membawa kepada penangkapan suspek-suspek terlibat.