SHAH ALAM – Rakaman video memaparkan enam lelaki membuat pengakuan terbuka keluar daripada agama Islam yang didakwa sebagai Islam versi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tular di media sosial sejak Jumaat.
Menerusi video yang dikongsikan seorang pengguna di platform Threads itu, kesemua individu terbabit memperkenalkan diri sebagai rakyat Malaysia, termasuk dari Johor, Terengganu dan Kuala Lumpur sebelum membuat pengakuan secara berasingan.
Lebih mengejutkan, terdapat individu yang melafazkan dua kalimah syahadah sebelum mengisytiharkan dirinya keluar daripada Islam yang dikaitkan dengan Jakim.
Mereka turut mendakwa kini mengikuti ajaran yang dianggap sebagai Islam sebenar, iaitu agama Ahmadi keamanan dan cahaya.
Dalam rakaman tersebut, mereka turut memberikan alasan bahawa Islam sebenar berlandaskan ketaatan kepada ALLAH SWT, Nabi Muhammad SAW serta wasiat baginda.
Perkongsian video berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang mempersoalkan tindakan kumpulan terbabit serta menggesa Jakim dan ahli keluarga mereka mengambil perhatian terhadap perkara itu.
Ada pengguna turut mendakwa kumpulan berkenaan mempunyai kaitan dengan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light (TAROPAL), yang dipercayai diikuti sebahagian rakyat Malaysia yang menetap di luar negara..
Bagaimanapun, setakat ini identiti penuh keenam-enam lelaki berkenaan serta dakwaan mengenai penglibatan mereka dengan ajaran terbabit belum dapat disahkan.