SAVIO terus membuktikan kemampuannya apabila menjaringkan gol pada penampilan sulung bersama Tottenham Hotspur ketika membantu kelab itu membelasah Charlton 5-1 untuk mara ke pusingan ketiga Piala Liga Inggeris, awal pagi Khamis.
Spurs yang kecewa selepas tewas 0-3 kepada Brentford dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu, bangkit dengan persembahan meyakinkan di Stadium Tottenham Hotspur.
Mikey Moore dan Dominic Solanke meletakkan tuan rumah di depan menerusi dua gol dalam tempoh empat minit pada penghujung babak pertama sebelum Kevin Danso menambah gol ketiga pada minit ke-67.
Savio, yang masuk sebagai pemain gantian, kemudian mencuri tumpuan apabila meledak gol pada minit ke-82 untuk melengkapkan malam gemilangnya bersama kelab baharu itu.
Pemain sayap Brazil tersebut melakukan larian ke dalam sebelum melepasi dua pertahanan Charlton dan melepaskan rembatan yang menerjah bahagian dalam tiang dekat.
Tiga minit kemudian, Savio sekali lagi menjadi pencetus apabila percubaannya terkena paha kapten Spurs, Ben Davies, sebelum bola menerjah gawang untuk gol kelima tuan rumah.
Savio, sebelum ini dikenali sebagai Savinho, menyertai Tottenham dari Manchester City dengan yuran awal dilaporkan 75 juta pound (RM410 juta), sekali gus membawa harapan tinggi untuk memperkukuh jentera serangan Spurs.
"Hari yang sempurna buatnya. Saya bercakap dengannya dan kami menetapkan sasaran 10 atau 12 gol kerana kami memerlukan 10 atau 12 gol daripada pemain sayap," kata pengurus Tottenham, Roberto De Zerbi.
Beliau menambah, Spurs terlalu banyak berdepan kesukaran musim lalu akibat kekurangan jaringan, menyebabkan kelab itu hanya menamatkan saingan Liga Perdana di tangga ke-17.
Charlton pula meraih gol saguhati menerusi tandukan Lloyd Jones, manakala Spurs pula akan berdepan Liverpool di pusingan ketiga Piala Liga pada 7 September dan 21 September.