Mohd Isa jalani prosedur berkaitan jantung di Hospital Serdang pagi ini

Iklan
Mohd Isa

SEREMBAN - Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Sri Mohd Isa Abdul Samad yang kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Sungai Buluh, akan menjalani prosedur berkaitan jantung di Hospital Serdang, pagi Khamis.

Ahli keluarga bekas Pengerusi Felda itu menerusi WhatsApp memohon doa orang ramai supaya prosedur berkenaan berjalan lancar.

Iklan
Iklan

"Pihak keluarga dengan rendah hati memohon kepada semua sahabat-handai serta semua yang mengenali beliau agar mendoakan supaya prosedur tersebut berjalan lancar dan segala urusan dipermudahkan.

"Semoga ALLAH mengurniakan kesembuhan, kekuatan dan kesihatan yang baik kepada beliau," katanya.

Iklan

Pihak keluarga turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Penjara Malaysia serta pasukan doktor, jururawat dan seluruh warga Hospital Serdang atas perhatian, penjagaan dan rawatan yang diberikan.

"Terima kasih atas segala doa dan keprihatinan," katanya.

Iklan

Mohd Isa kini menjalani hukuman penjara enam tahun atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3.09 juta membabitkan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.

Pada 2018, Mohd Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip, daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.

Ia sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian MPHS di Kuching pada harga RM160 juta oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.