PRN Melaka: Pas jamin tak minta ‘tujuh dulang hati nyamuk’ dalam rundingan kerusi

Iklan
Annuar

KOTA BHARU - Pas memberi jaminan tidak akan mengemukakan tuntutan tidak munasabah dalam rundingan pembahagian kerusi bersama Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, parti itu mengambil pendekatan sederhana kerana lebih mengutamakan kejayaan muafakat berbanding mendapatkan jumlah kerusi tertentu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, urusan pembahagian kerusi diserahkan kepada jawatankuasa perundingan yang dianggotai empat wakil BN dan empat wakil Pas, yang sudah menjalankan tugas berkenaan di dua PRN lain sebelum ini.

“Seperti mana yang dimaklumkan Timbalan Presiden Pas, setakat ini hanya tujuh kerusi yang boleh dirundingkan di Melaka.

Iklan

“Perkara itu diserah kepada jawatankuasa perundingan. Kami sangat terbuka dan Pas mengambil pendekatan yang sederhana kerana lebih mengutamakan kejayaan muafakat itu sendiri.

“Bukan berkeras dengan soal mengambil kerusi dan sebagainya, yang pentingnya apa yang munasabah, adil dan wajar,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau sebelum itu melancarkan jersi Kelantan City FC pada satu majlis yang turut dihadiri Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad.

Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala PH memperoleh lima kerusi dan PN dua kerusi.

Mandat kerajaan negeri itu akan berakhir pada 31 Disember ini.

Dalam perkembangan berkaitan, BN sebelum ini menyatakan akan mempertahankan 21 kerusi yang dimenanginya manakala baki tujuh kerusi terbuka untuk rundingan termasuk kemungkinan pertukaran kawasan dengan parti yang bakal bekerjasama menghadapi PRN berkenaan.

Annuar yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) berkata, Pas tidak akan meletakkan tuntutan yang boleh menjejaskan usaha mencapai persefahaman dengan BN.

“Walaupun di Melaka, tak adalah sampai nak minta tujuh dulang hati nyamuk dan sebagainya.

“Pas tidak akan mengambil pendekatan seperti mana sultan meminang Puteri Gunung Ledang,” katanya secara berseloroh.