BEBERAPA minggu lalu ketika Merak Jalanan dalam perjalanan ke pejabat, mata tertumpu kepada penunggang basikal yang sedang berkayuh di sebelah kiri jalan.
Bukan seorang dua, bukan juga tiga empat orang tetapi lebih 10 penunggang.
Dalam keadaan penuh berhati-hati mengawal stereng, Merak Jalanan pula yang jadi tidak keruan.
Mana tidaknya, laluan dilalui sibuk dengan kenderaan berat, lorong kecemasan dilalui di situ pun bukannya lebar mana.
Dalam keadaan nak elak lori dan treler, risau juga tergesel dengan penunggang yang ke kiri ke kanan menunggang basikal masing-masing.
Yang membuatkan Merak Jalanan lebih berdebar, ada penunggang yang memilih untuk berbasikal secara beriringan sambil berbual.
Merak Jalanan bukan mahu menghalang orang bersukan, malah kagum melihat mereka gigih mengayuh, tetapi persoalannya, selamatkah cara dan lokasi yang dipilih?
Bayangkan sebuah lori datang dari belakang. Dalam keadaan laluan kecemasan yang sempit, ruang untuk kenderaan mengelak atau memberi jarak selamat kepada penunggang juga bukanlah luas.
Pemandu yang mahu memotong pun terpaksa menunggu keadaan benar-benar sesuai. Silap sedikit, nyawa boleh menjadi taruhan.
Jalan raya ini untuk kita kongsi bersama. Semua pengguna mahu sampai ke destinasi dengan selamat.
Tak salah kayuh untuk sihat, tetapi jangan sampai satu keseronokan bertukar menjadi tragedi yang akhirnya dikesali.