Anak-anak kini cepat dewasa sebelum usia

Iklan
Satu telefon pintar sudah cukup untuk membawa seorang kanak-kanak mengenali dunia yang luas, termasuk perkara yang mungkin belum sesuai untuk mereka ketahui. - Gambar hiasan

BILA melihat anak kecil, kita mungkin teringat zaman kanak-kanak riang sendiri.

Begitu indahnya zaman kanak-kanak era 1990-an. Waktu petang dihabiskan di luar rumah, bermain kejar-kejar, galah panjang atau sekadar berkumpul di halaman bersama anak-anak jiran.

Iklan
Iklan

Adakalanya terlalu seronok bermain hingga lupa waktu dan hanya pulang apabila ibu sudah memanggil berkali-kali. Ketika itu, dunia kanak-kanak terasa luas walaupun hanya di sekitar kawasan rumah.

Rumah jiran ibarat rumah sendiri, anak-anak bebas keluar masuk bermain bersama dan ibu bapa pula mengenali hampir semua rakan serta jiran di sekeliling.

Iklan

Namun hari ini, dunia kanak-kanak sudah berubah. Umur baru tujuh tahun sudah tahu apa itu ‘FOMO’. Baru lapan tahun, sudah tahu bagaimana mahu kelihatan menarik di depan kamera.

Belum masuk sekolah menengah tapi sudah mengenali pelbagai istilah dan cerita yang dahulu mungkin hanya kita fahami apabila meningkat dewasa.

Iklan

Ada yang belum pun menginjak usia remaja tetapi sudah mengenali pelbagai perkara yang suatu ketika dahulu hanya kita faham selepas meningkat dewasa.

Hari ini, dunia itu berada dalam genggaman. Satu telefon pintar sudah cukup untuk membawa seorang kanak-kanak mengenali dunia yang luas, termasuk perkara yang mungkin belum sesuai untuk mereka ketahui.

Persoalannya, adakah kanak-kanak hari ini semakin matang atau sebenarnya mereka sedang didedahkan kepada dunia terlalu awal?

Tidak salah anak-anak mahu tahu tentang dunia. Malah, rasa ingin tahu adalah sebahagian daripada proses membesar.

Namun, apabila terlalu banyak maklumat datang tanpa ditapis, sempadan antara dunia kanak-kanak dan dunia orang dewasa semakin kabur.

Mereka melihat kehidupan orang lain di media sosial, mengetahui trend terkini, mengikuti kehidupan selebriti dan pencipta kandungan, malah tidak mustahil turut terdedah kepada konflik, pergaduhan, bahasa kasar, unsur berkaitan seksual yang tentunya belum sesuai dengan usia mereka.

Apa yang lebih membimbangkan, semua itu boleh berlaku tanpa kita sebagai ibu bapa sedar.

Di Malaysia, 94 peratus kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun menggunakan internet dan hampir kesemuanya melayari internet setiap hari, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia.

Justeru, tidak hairanlah isu keselamatan kanak-kanak dalam talian semakin mendapat perhatian.

Mulai 1 Jun 2026, peraturan baharu berkaitan keselamatan dalam talian mula berkuat kuasa di Malaysia, termasuk langkah mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun media sosial oleh individu bawah 16 tahun.

Platform juga perlu melaksanakan mekanisme pengesahan umur bagi menghalang kanak-kanak bawah usia berkenaan daripada membuka akaun.

Risiko yang dihadapi kanak-kanak dalam talian semakin pelbagai, daripada buli siber dan penipuan hinggalah eksploitasi seksual serta pendedahan kepada kandungan berbahaya.

Menurut UNICEF, kajian Disrupting Harm menganggarkan sekitar 100,000 kanak-kanak remaja di Malaysia mengalami bentuk eksploitasi dan penderaan seksual dalam talian dalam tempoh setahun. Angka itu cukup membimbangkang.

Selama ini mungkin kita bertanya, “Kenapa budak-budak sekarang cepat sangat dewasa?”

Mungkin sebahagian jawapannya ada di dalam telefon yang kita sendiri berikan kepada mereka.

Sebab itu kita perlu berhati-hati apabila mengatakan anak-anak zaman sekarang lebih matang. Barangkali mereka bukan lebih matang. Mereka cuma terdedah lebih awal.

Usaha melindungi kanak-kanak daripada dunia digital bukan bermaksud kita mahu menghalang mereka daripada mengenali dunia sebaliknya kita mahu mereka mengenalinya mengikut kemampuan dan usia.

Tidak semua perkara perlu diketahui hari ini dan tidak semua kehidupan yang dipamerkan di skrin adalah realiti serta perlu dijadikan ukuran kehidupan sendiri.

*Nurkhairini Jumari ialah Sub Editor Sinar Harian