PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu mengekalkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan terhadap seorang pemandu lori kerana mengedar 845 gram ganja, lapan tahun lepas.
Panel tiga hakim yang terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak rayuan, M Mugunthan terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan.
Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai yang mewakili pihak pendakwaan mengesahkan keputusan itu kepada Bernama.
Dalam keputusan sebulat suara itu, hakim mendapati Mahkamah Tinggi tidak membuat sebarang dapatan yang bercanggah mengenai pengetahuan Mugunthan mengenai dadah berkenaan, selain penjagaan dan kawalan terhadap dadah itu telah dibuktikan melalui keterangan afirmatif.
Beliau berkata, hakim berkenaan turut berpendapat dapatan yang dibuat oleh mahkamah lebih rendah adalah selaras dan disokong oleh keterangan, serta tidak terdapat sebarang kesilapan atau salah arah yang memerlukan campur tangan mahkamah.
Pada 16 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi mendapati Mugunthan, 46, bersalah atas kesalahan mengedar dadah dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 12 sebatan.
Beliau diperintahkan menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap iaitu 10 April 2018.
Kesalahan itu dilakukan di tempat letak kereta sebuah pangsapuri di Jalan Lengkuas, Shah Alam, Selangor pada jam 4.35 petang, 10 April 2018.
Mahkamah Tinggi turut mendapati Mugunthan bersalah atas dua pertuduhan memiliki 1.02 gram methamphetamine dan 35.96 gram ganja. Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia dihukum masing-masing penjara tiga tahun dan empat tahun serta lima sebatan.
Mahkamah Rayuan pada 14 Julai tahun lepas menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman bagi pertuduhan mengedar dadah serta mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, yang membawa kepada rayuan di Mahkamah Persekutuan hari ini.
Mugunthan telah menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap sabitan dan hukuman bagi dua pertuduhan memiliki dadah berkenaan selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara.
Hari ini di Mahkamah Persekutuan, Mugunthan diwakili peguam Afifuddin Ahmad Hafifi dan Aina Melina Johan. - Bernama