SHAH ALAM - Gabungan Kesatuan Kakitangan Universiti Awam Malaysia (GAKUM) menuntut supaya wakil pekerja Universiti Awam turut dilibatkan dalam proses pembentukan One Higher Education Act (OHEA) yang dirancang Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Presidennya, Norsyahriman Md Arif, berkata GAKUM mengambil maklum perkembangan berhubung pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 [Akta 30] (AUKU) serta perancangan KPT membentuk kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih komprehensif menerusi OHEA.
Ia adalah sebahagian daripada Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Beliau berkata, GAKUM melihat perkembangan itu sebagai agenda reformasi penting dalam proses pemugaran landskap pendidikan tinggi negara.
“Justeru, cadangan pembentukan OHEA perlu mengambil kira keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi, termasuk mahasiswa, warga akademik dan tidak ketinggalan para pekerja khususnya dalam kalangan Kumpulan Pelaksana yang turut bersama-sama menyokong dan mendukung misi, visi, fungsi serta operasi universiti,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, pekerja Universiti Awam adalah antara pihak berkepentingan yang wajar diberikan ruang oleh KPT untuk turut serta dalam proses pembentukan OHEA.
Menurutnya, sebagai sebuah gabungan kesatuan sekerja yang mewakili Kumpulan Pelaksana di Universiti Awam dan pusat perubatan universiti, GAKUM bersedia menyumbang pandangan pekerja menerusi siri libat urus yang akan dilaksanakan KPT.
“GAKUM menghormati usaha memperluas ruang kebebasan mahasiswa dan kebebasan akademik sebagai sebahagian daripada agenda reformasi pendidikan tinggi negara.
“Pada masa sama, GAKUM berpandangan bahawa autonomi institusi perlu bergerak seiring dengan akauntabiliti, tadbir urus yang baik serta perlindungan terhadap hak dan kepentingan pekerja.
“Prinsip-prinsip ini perlu diberikan perhatian secara seimbang dalam proses pembentukan kerangka perundangan yang baharu,” katanya.
Dalam pada itu, GAKUM berpandangan sebarang pembaharuan yang dirancang perlu mengambil kira kesinambungan pekerjaan, syarat perkhidmatan, gaji dan faedah, kekananan perkhidmatan, pencen dan persaraan, kebajikan pekerja serta hak representasi kesatuan.
Norsyahriman berkata, sekiranya terdapat cadangan perubahan yang memberi kesan kepada perkhidmatan atau kebajikan pekerja, kesatuan sekerja yang mewakili mereka sewajarnya diberikan ruang untuk mengemukakan pandangan sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan.
Menurutnya, penglibatan GAKUM sejak peringkat awal akan membolehkan pandangan pekerja disampaikan secara teratur berdasarkan suasana dan pengalaman sebenar di Universiti Awam.
“Penglibatan tersebut juga memberi ruang kepada GAKUM untuk memahami cadangan Kerajaan dengan lebih jelas sebelum mendapatkan pandangan daripada kesatuan-kesatuan anggota GAKUM dan seterusnya mengemukakan maklum balas yang bersesuaian kepada KPT,” katanya.
Beliau berkata, GAKUM percaya pembentukan OHEA merupakan peluang untuk membangunkan kerangka pendidikan tinggi yang lebih holistik, berdaya hadapan serta berteraskan kebajikan dan kesejahteraan warga universiti.
“Sehubungan itu, GAKUM bersedia untuk menjadi rakan libat urus KPT serta akan memberikan kerjasama dan pandangan secara konstruktif dalam proses pembentukan OHEA,” tambahnya.