SHAH ALAM – Perbicaraan kes bela diri seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama tahun lalu, selesai di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Hakim, Adlin Abdul Majid memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan balas pada 3 September, manakala hujahan lisan ditetapkan pada 8 September.
Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam, Kitson Foong berkata, prosiding bela diri terhadap remaja berkenaan selesai selepas dua saksi termasuk tertuduh hadir memberi keterangan.
“Selain remaja berkenaan, seorang lagi saksi yang dipanggil memberi keterangan ialah Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony,” katanya.
Sebelum ini, prosiding pendakwaan dan pembelaan berlangsung selama 10 hari bermula 3 Ogos lalu.
Pada 16 Januari, Mahkamah Majistret Petaling Jaya diberitahu bahawa laporan psikiatri mengesahkan remaja terbabit layak dibicarakan.
Remaja itu yang ketika kejadian berusia 14 tahun dan merupakan pelajar Tingkatan Satu kelas peralihan, didakwa membunuh rakan sekolahnya antara jam 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.
Tiada pengakuan direkodkan daripada remaja berkenaan kerana pertuduhan membunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak melebihi 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menetapkan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun.
Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz, Ahmad Iqbal Azman dan Nurul ‘Izzati Mohamad.
Sementara itu, pihak pembelaan turut diwakili peguam, Chew Jee San, Angel Choo dan Yan Zhi Wei.