SEREMBAN - Pendakwah yang juga pempengaruh agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas 34 pertuduhan pertuduhan pecah amanah wang milik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan 17 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM15.4 juta.
Tertuduh, Abdullah Abdol Razak, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin M Kunasundary selepas kesemua kertas pertuduhan dibacakan yang mengambil masa lebih satu jam.
ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwah bebas terkenal tiba di mahkamah untuk pertuduhan seleweng dana NGO RM13 juta
Mengikut 34 pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, tertuduh sebagai seorang ejen iaitu Pengerusi Pertubuhan Rezeki Infaq Malaysia (PRIM) yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta berupa wang dana PRIM berjumlah keseluruhan RM13,847,535.89 didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap harta berkenaan.
Tertuduh didakwa secara tidak jujur melepaskan harta itu dengan melanggar Fasal 10 Perlembagaan PRIM yang menetapkan cara bagaimana amanah berkenaan perlu disempurnakan.
Ia didakwa dilakukan dengan cara meluluskan pembayaran wang tersebut ke beberapa akaun bank termasuk akaun bank miliknya sendiri tanpa kebenaran Mesyuarat Agung PRIM.
Kesalahan terbabit dilakukan antara 28 Februari 2023 hingga 31 Mac 2026 di sebuah bank di daerah ini.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun, sebatan dan boleh juga dikenakan denda.
Tertuduh turut berdepan 17 pertuduhan pengubahan wang haram yang mana tertuduh didakwa telah memindahkan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang keseluruhan berjumlah RM1.56 juta daripada beberapa bank termasuk miliknya ke beberapa akaun bagi tujuan pembayaran pembelian emas.
Kesalahan berkenaan dilakukan pada 18 mei 2024 hingga 24 Februari 2026 di lokasi sama.
Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.
Sabit kesalahan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun, boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan kes tersebut tidak boleh dijamin, namun beliau mencadangkan mahkamah mengenakan jaminan RM1 juta sekiranya diberikan.
Beliau turut menetapkan yang penjamin tersebut terdiri daripada dua warganegara yang bukan daripada ahli keluarga dengan beberapa syarat tambahan.
Peguam, Azrul Zulkifli Stork dalam rayuannya memaklumkan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai 11 anak berusia empat hingga 15 tahun.
Katanya, tertuduh juga pemilik sebuah restoran dan pempengaruh dengan pendapatan tidak menentu, bergantung kepada penyiaran.
Tambahnya, jumlah jaminan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan adalah tinggi memandangkan kesemua akaun bank tertuduh telah dibekukan.
Justeru beliau merayu jumlah jaminan RM700,000 dipertimbangkan iaitu RM350,000 jaminan bercagar dan selebihnya tidak bercagar.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM700,000 dengan dua penjamin warganegara berusia lebih 21 tahun yang mana RM400,000 jaminan bercagar manakala RM300,000 tidak bercagar.
Sekiranya tertuduh tidak mematuhi syarat-syarat ditetapkan, jaminan bercagar RM300,000 itu tidak akan dikembalikan selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak menganggu mana-mana saksi pendakwaan secara sendiri atau melalui pihak ketiga.
Selain itu, Setiausaha NGO terbabit iaitu Noor Sahira Abdullah, 30 didakwa bersubahat dengan Abdullah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta PRIM berjumlah keseluruhan RM13,847,535.89 dengan sengaja membantu beliau membuat pemindahan wang tersebut secara perbankan atas talian ke beberapa akaun bank tanpa kebenaran Mesyuarat Agung PRIM.
Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas perbuatan itu yang dilakukan dari 24 April 2023 hingga 28 Mac 2026.
Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 109 Kanun Keseksaan [Akta 574] dibaca bersama seksyen 409 Kanun yang sama.
Sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun, sebat dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil menawarkan jaminan RM250,000 dengan dua penjamin warganegara dengan beberapa syarat tambahan.
Azrul Zulkifli dalam rayuannya berkata, tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia lima bulan selain perlu menanggung ibu bapa yang tidak sihat.
Beliau memohon jaminan dikurangkan kepada RM150,000 dengan dua penjamin.
Mahkamah menetapkan jaminan RM200,000 dengan dua penjamin tempatan berusia lebih 21 tahun dengan syarat tambahan seperti mana ditetapkan kepada Abdullah.
Sebutan semula kes 28 September depan.