23 pengunjung terkandas tiga jam permainan buaian di pesta ria rosak

Iklan

HAMBURG (Jerman) - Seramai 23 orang terkandas selama kira-kira tiga jam selepas permainan buaian mengalami kerosakan di sebuah pesta ria di bandar Hamburg, utara Jerman, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Polis berkata, permainan itu terhenti lewat petang Selasa akibat kerosakan teknikal, menyebabkan polis dan anggota bomba melancarkan operasi besar-besaran bagi membantu mereka yang terperangkap serta mengelakkan keadaan menjadi panik.

Iklan
Iklan

Menurut akhbar Bild, penumpang terkandas pada ketinggian kira-kira 30 meter dari aras tanah.

Tidak lama selepas tengah malam, permainan itu berjaya dihidupkan semula dan semua penumpang berjaya turun tanpa mengalami kecederaan serta tanpa bantuan anggota bomba, kata jurucakap polis.

Iklan

Pertubuhan pemeriksaan teknikal Jerman TÜV antara pihak yang dijangka menyiasat punca kejadian itu.

Permainan berkenaan adalah sebahagian daripada pesta ria Sommerdom di Hamburg yang berlangsung hingga Ahad.

Iklan

Tahun ini, acara itu diadakan selama lima minggu buat kali pertama berbanding empat minggu sebelum ini.

Lebih 1.3 juta orang menghadiri Sommerdom tahun lepas, menurut penganjur.- Bernama