JASIN - Sebuah bas membawa pelancong asing terbabas sebelum terbalik menyebabkan tiga penumpang terdiri daripada warga Singapura dan Britain serta seorang pemandu pelancong warga tempatan cedera dalam kejadian di Kilometer 177.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini dalam kejadian awal pagi Rabu.
Dalam kejadian sekitar jam 5 pagi itu, bas berkenaan yang membawa 11 penumpang dalam perjalanan dari Singapura menghala ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superitenden Lee Robert berkata, kemalangan berlaku selepas pemandu bas berusia 31 tahun cuba mengelak sebuah lori yang memperlahankan kenderaan di hadapannya.
“Kejadian menyebabkan tiga penumpang cedera manakala lapan lagi termasuk pemandu bas tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, pemandu pelancong berusia 59 tahun cedera di bahagian kaki dan menerima rawatan di zon hijau Hospital Jasin.
“Seorang wanita warga Singapura berusia 62 tahun dan wanita warga Britain berusia 46 tahun pula cedera di bahagian kepala dan masing-masing menerima rawatan di zon kuning serta zon hijau hospital berkenaan,” katanya.
“Kesemua mangsa telah dilawati Pegawai Penyiasat dan pemandu bas akan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Jasin untuk menjalani ujian saringan air kencing,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.