PUTRAJAYA - Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) meneliti dan menyiasat kematian Noorizwan Zulkefly, 42, ketika dalam tahanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, 1 Oktober lalu.
Mohd Khalid berkata, langkah itu diambil susulan penemuan beberapa kecederaan luar biasa pada tubuh Allahyarham, namun menjelaskan pihaknya masih menanti laporan penuh berhubung punca sebenar kematian.
"Pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) yang menyiasat kematian dalam tahanan sudah mengeluarkan kenyataan berhubung isu ini, tetapi kita masih menanti laporan makmal berhubung sebab kematian.
"Tetapi daripada apa yang kita lihat ini, ada beberapa kecederaan yang agak luar biasa yang memerlukan perhatian, dan saya meminta pihak JSJ, terutama pengarahnya, Datuk M Kumar untuk menjalankan siasatan secepat mungkin," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Ahad.
Mohd Khalid juga sudah mengarahkan pihak JSJ untuk mengeluarkan kenyataan dan memaklumkan perkembangan siasatan kes itu kepada awam secepat mungkin.
Terdahulu, media melaporkan hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan pada organ dalaman Noorizwan.
Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid dilaporkan berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pihak forensik hanya menemukan kecederaan luaran pada tubuh mangsa.
Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah berhubung dengan Ketua Polis Negara dan mengarahkan siasatan telus serta menyeluruh dijalankan berhubung kematian tahanan berkenaan.
Kenyataan Perdana Menteri itu dibuat susulan kehadiran waris Noorizwan ke kediaman peribadi Anwar bagi menyerahkan surat rayuan memohon campur tangan secara terus daripada beliau.