GEORGE TOWN – Pergerakan tanah masih berlaku di lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong di sini menyebabkan enam rumah berhampiran diarahkan dikosongkan serta-merta bagi mengelakkan risiko runtuhan susulan.
Pegawai Daerah Timur Laut, Isma Suhaimi Shariff berkata, pergerakan tanah masih dikesan walaupun ketika keadaan tidak hujan sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.
Menurutnya, keadaan itu dikhuatiri menjadi lebih berbahaya sekiranya hujan lebat berlaku kerana tanah di lokasi berkenaan masih bergerak dan boleh menyebabkan runtuhan susulan.
“Jadi, kita tidak membenarkan kerja-kerja dilakukan di bahagian bawah kawasan itu buat masa ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Ahad.
Beliau berkata, arahan mengosongkan enam rumah itu dikeluarkan sebagai langkah keselamatan sementara menunggu penilaian teknikal daripada pihak berkaitan bagi menentukan tahap keselamatan kawasan berkenaan.
Katanya, penduduk yang terjejas akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Paya Terubong yang telah diaktifkan.
“Tempoh pengosongan rumah dijangka selama lima hari sementara menunggu laporan teknikal berkaitan keadaan tanah dan cerun di kawasan berkenaan.
“Kita menjangkakan laporan berkenaan dapat diperoleh dalam tempoh kira-kira tiga hari sebelum keputusan lanjut dibuat sama ada rumah terbabit selamat untuk diduduki atau sebaliknya,” katanya.
Penilaian laporan teknikal
Menurutnya, penilaian itu akan mengambil kira laporan teknikal daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) khususnya berkaitan keadaan geoteknik dan kestabilan cerun.
Beliau berkata, sekiranya laporan mendapati rumah berkenaan tidak selamat untuk diduduki, pihaknya akan mencari alternatif lain bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
"Enam rumah terbabit melibatkan kira-kira 15 penghuni daripada beberapa keluarga termasuk rumah yang tidak didiami secara tetap.
"Bagaimanapun, terdapat penghuni yang masih perlu mengambil barangan peribadi dari rumah masing-masing dan mereka diminta berbuat demikian dengan mengambil kira faktor keselamatan," katanya.
Terdahulu, seorang doktor berusia 73 tahun ditemukan maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang menghempap rumahnya.
Mangsa, Wong Kar Lin ditemui oleh pasukan bomba kira-kira jam 11.21 pagi selepas dipercayai terperangkap di bahagian dapur rumah berkenaan.
Kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 8.36 pagi itu turut melibatkan isteri mangsa, Chang Mei Nuo, 68 dan ibu mertuanya, Wong Poh Lim. 80-an.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka terselamat selepas sempat keluar dari kediaman tersebut ketika kejadian berlaku.
Isu saliran air
Dalam perkembangan berkaitan, Isma berkata, kejadian itu dipercayai mempunyai kaitan dengan masalah saliran air di kawasan tanah runtuh selain kerja pembinaan tembok penahan tanah yang masih belum siap.
Menurutnya, terdapat kebocoran saluran air di bahagian atas kawasan berkenaan selain longkang tersumbat yang menyebabkan air tidak dapat mengalir ke longkang utama.
“Air itu masuk ke kawasan rumah dan keadaan tersebut boleh menyebabkan pergerakan tanah. Kerja membina tembok penahan tanah juga belum siap ketika kejadian berlaku.
“Kita turut bimbang terdapat kren dan bongkah konkrit besar di kawasan berkenaan yang berisiko jatuh sekiranya berlaku pergerakan tanah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihak berkuasa akan melaksanakan langkah mitigasi jangka pendek dengan menutup kawasan tanah terdedah menggunakan plastik bagi mengurangkan kemasukan air hujan yang boleh memburukkan keadaan.
Katanya, langkah berkenaan dilaksanakan sementara menunggu penilaian teknikal dan perancangan mitigasi yang lebih menyeluruh bagi mengurangkan risiko runtuhan susulan.
"Kejadian itu dikategorikan sebagai kemalangan dan bukannya bencana kerana skala kejadian tidak melibatkan kawasan yang lebih luas.
“Bagaimanapun, kita mengambil langkah mitigasi bagi mengelakkan kejadian sama berulang dan memastikan risiko kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda yang lebih besar dapat dikurangkan pada masa hadapan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai operasi menyelamat, Isma berkata, seramai 14 anggota bomba terlibat pada peringkat awal sebelum kekuatan operasi ditambah dengan bantuan polis, Jabatan Kesihatan Daerah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut.
Beliau berkata, mangsa lelaki berkenaan ditemukan dalam keadaan separuh badan tertimbus tanah dan tersepit akibat dihempap konkrit.
“Proses mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira 30 minit kerana keadaannya agak rumit apabila mangsa tersepit di celah konkrit dan tertimbus tanah.
“Kerja-kerja menyelamat perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana terdapat tekanan daripada tanah dan air di kawasan berkenaan,” katanya.