KOTA TINGGI - Hasrat seorang anak bongsu untuk berpindah ke kampung halaman bagi menjaga ibunya yang uzur tidak kesampaian selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 80, Jalan Johor Bahru - Mersing, kira-kira jam 5 petang pada Selasa.
Muhamad Amin Mukhtar, 35, yang bekerja sebagai pembantu perubatan Hospital Sultan Ismail, (HSI) Johor Bahru dan memandu Honda City itu maut ketika dalam perjalanan pulang dari Setiu, Terengganu ke Johor Bahru.
Kakaknya, Rohana Mukhtar, 54, berkata, adiknya itu pulang ke kampung bagi menghadiri majlis perkahwinan anaknya dan menyatakan hasrat untuk berpindah ke Terengganu bagi menjaga ibu yang berusia 70 tahun serta menguruskan perniagaan inap desa milik keluarganya.
ARTIKEL BERKAITAN: Identiti tiga mangsa maut kemalangan di Kota Tinggi dikenal pasti
“Sebelum ini, ada juga kami tanyakan dia untuk berpindah ke Terengganu tetapi dia belum bersedia namun tiba-tiba dia bertukar fikiran selepas melihat keadaan ibu yang uzur dan ada sakit darah tinggi,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi pada Rabu.
Bercerita mengenai perubahan pada adiknya, Muhamad Amin dikenali sebagai seorang yang ceria tetapi kali ini lebih banyak diam dan tidak bermain telefon bimbit seperti kebiasaannya.
Muhamad Amin juga sempat meminta maaf dengan rakan sekerjanya ketika hendak pulang ke Terengganu pada minggu lalu.
Menurutnya, khabar duka itu diterima keluarganya kira-kira jam 6.30 petang pada Selasa daripada kenalan mangsa sebelum disahkan polis.
“Kami tidak sangka semalam hari terakhir berjumpa dengannya dan niat baiknya untuk berpindah menjaga ibu tidak kesampaian,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada penumpang perempuan yang maut dalam Toyota Vios, Siti Aishah Hamdan, 43, berkata, Nur Fatin Nabilah Yusrishahrun, 20, merupakan anak tunggalnya dan tinggal bersama datuk serta neneknya di Felda Tenggaroh 1, sejak kecil.
“Allahyarham mengirimkan pesanan melalui Whatsapp yang dirinya teringin makan coklat dan saya berjanji hendak membelikannya apabila berjumpa hujung bulan nanti namun tak kesampaian,” katanya.
Menurut Siti Aishah, kawan lelakinya itu ada meminta izin dengan nenek untuk membawa Nur Fatin Nabilah keluar bersiar-siar.
Bapa saudara kepada pemandu Toyota Vios, Mohd Saat Nawawi pula berkata, kali terakhir dia berjumpa Muhamad Shuhairil Soraiya,21, adalah pada hari raya haji lalu.
“Muhamad Shuhairil bertugas di Kem Iskandar, Mersing selepas tamat latihan.
“Dia memang ikut jejak langkah ayahnya yang merupakan pesara tentera dan kakak serta abangnya juga masih berkhidmat sebagai tentera,” katanya.
Jenazah Muhamad Amin akan dikebumikan di Setiu, Terengganu, manakala Nur Fatin Nabilah di Felda Tenggaroh 1 dan Muhamad Shuhairil Soraiya disemadikan di Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, tiga maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 80, Jalan Johor Bahru - Mersing, jam 5.25 petang pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan kereta Toyota Vios berkenaan terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Honda City itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.