KULAI – Tiga lagi lelaki ditahan di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berhubung video tular lumba haram serta menutup lebuh raya Linkedua di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mereka akan dibawa ke Mahkamah Kulai pada pagi Rabu bagi proses permohonan reman untuk membantu siasatan.
ARTIKEL BERKAITAN: Tutup lebuh raya demi lumba haram: Lapan suspek sudah ditahan
[VIDEO] Pempengaruh permotoran antara 8 direman kes 'tutup' lebuh raya demi lumba haram
Polis kesan semua individu terlibat lumba haram, sekat lebuh raya
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada 23 Ogos lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, lapan lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 45 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu ditahan polis jam 11.54 pagi pada Ahad lalu.
Pada Jumaat, semua suspek termasuk seorang pempengaruh permotoran direman selama empat hari oleh Mahkamah Kulai bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas mereka.
Video tular berdurasi 33 saat itu memaparkan aksi dua penunggang motosikal sedang berlumba haram di lebuh raya berkenaan kira-kira jam 7 pagi.
Kejadian itu dipercayai berlaku dari Kilometer 33, Susur Tol Senai hingga Kilometer 31, Susur Johor Premium Outlet (JPO).
Video memaparkan beberapa individu 'menutup' jalan di lebuh raya berkenaan bagi memberi laluan kepada perlumbaan menimbulkan kemarahan kepada orang ramai di media sosial.