Pelarian Rohingya tuntut keadilan, kehidupan bermaruah

Iklan
Pelarian Rohingya berhimpun menyertai demonstrasi bagi memperingati ulang tahun kesembilan penghijrahan besar-besaran mereka di Cox’s Bazar, Bangladesh. FOTO: AFP

COX’S BAZAR – Puluhan ribu pelarian Rohingya berhimpun di kem pelarian di Bangladesh bagi menuntut keadilan, kehidupan bermaruah serta perhatian lebih serius masyarakat antarabangsa ketika krisis kemanusiaan yang membelenggu mereka terus meruncing.

Perhimpunan pada Selasa itu diadakan sempena ulang tahun kesembilan penghijrahan besar-besaran etnik berkenaan dari Myanmar susulan tindakan keras tentera pada 2017.

Iklan
Iklan

United Council of Rohingya memaklumkan, perhimpunan itu dianjurkan bagi memperingati kekejaman yang dilakukan terhadap komuniti berkenaan, selain mengetengahkan krisis kemanusiaan yang masih berlarutan.

Lebih 1.2 juta etnik Rohingya kini tinggal di kira-kira 30 kem di Cox’s Bazar, yang merupakan penempatan pelarian terbesar di dunia.

Iklan

Sebahagian besar daripada mereka melarikan diri daripada operasi ketenteraan Myanmar pada 2017 yang menyaksikan perkampungan Rohingya dibakar dan orang awam terbunuh.

Keadaan di kem berkenaan dilaporkan semakin buruk susulan pengurangan dana kemanusiaan, bekalan makanan yang terhad serta pemotongan beberapa perkhidmatan penting.

Iklan

Pertubuhan bantuan Oxfam memberi amaran bahawa penyusutan sumber kemanusiaan berisiko menjejaskan kemajuan yang dicapai di Cox’s Bazar, ketika perkhidmatan asas sedia ada sudah berdepan tekanan hebat.

Wartawan Al Jazeera, Tanvir Chowdhury yang membuat liputan dari Cox’s Bazar berkata, pelarian Rohingya mahu masyarakat dunia memberikan perhatian terhadap tuntutan mereka.

“Mereka mahukan keadilan, maruah dan peluang untuk pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Save the Children menganggarkan seorang daripada setiap tiga pelarian Rohingya berdepan tahap kelaparan kategori ‘krisis’ atau lebih buruk antara September hingga Disember.

Pihak berkuasa Bangladesh pula memaklumkan kemampuan negara itu untuk menampung pelarian semakin terbeban dan menggesa supaya komuniti Rohingya dapat kembali ke tanah air mereka secara bermaruah.

Bagaimanapun, 16 misi diplomatik di Bangladesh termasuk Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom dan Kanada dalam kenyataan bersama menegaskan keadaan semasa di Myanmar masih belum memungkinkan penghantaran pulang pelarian secara selamat.

Menurut kenyataan itu, konflik di Rakhine semakin memuncak, manakala serangan udara terhadap infrastruktur awam serta sekatan bantuan dan perdagangan oleh pihak berkuasa Myanmar terus memburukkan krisis kemanusiaan.

“Pelarian Rohingya mempunyai hak untuk kembali ke kediaman mereka di Myanmar,” menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa perhatian dan tindakan global diperbaharui bagi menangani nasib komuniti Rohingya.

Jurucakapnya, Stephane Dujarric berkata, komuniti Rohingya di Myanmar, Bangladesh dan seluruh rantau kini berdepan ketidakamanan yang semakin serius, perlindungan semakin mengecil serta prospek penyelesaian jangka panjang yang kian suram.

Menurutnya, keadaan itu diburukkan lagi oleh pemotongan dana yang menjejaskan bantuan penting untuk menyelamatkan nyawa.

Tindakan keras tentera Myanmar pada 2017 kini menjadi subjek kes genosid yang dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague.- Agensi