GEORGE TOWN- Seorang pekerja hotel warga Myanmar mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak warga Australia pada minggu lalu.
Aung Phyo Win, 30 membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Juraidah Abbas di Mahkamah Sesyen 1 di sini pada Rabu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang sudah berkahwin didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Warung Penjaja Lorong Baharu di sini jam 9.10 malam pada 20 Ogos lalu.
Oleh yang demikian, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen manakala tertuduh diwakili peguam, K Mahendran.
Tiada jaminan ditawarkan pihak pendakwaan terhadap tertuduh.
Dalam rayuannya, Mahendran memohon budi bicara mahkamah untuk memberi jaminan terhadap tertuduh kerana kuasa jaminan berada di tangan mahkamah.
"Tertuduh sudah berkahwin dan telah menetap di sini selama empat tahun. Dia bekerja secara tetap di sebuah hotel.
"Selain itu, pasport tertuduh telah diserahkan kepada pihak polis dan kebarangkalian untuk dia melarikan diri amat rendah. Saya mohon jaminan diberikan terhadapnya," katanya.
Sementara itu, Anuarul berkata, walaupun pasport tertuduh telah diserahkan kepada tertuduh, ia tidak menjamin bahawa pasport berkenaan adalah sah.
"Walaupun pasport tertuduh telah diserahkan (kepada polis), pihak mahkamah belum menerima dokumen yang mengesahkan pasport tertuduh adalah sah.
"Oleh itu, pihak pendakwaan memohon agar mahkamah tidak memberi jaminan terhadap tertuduh," ujarnya.
Juraidah kemudiannya menetapkan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan kes ditangguh sehingga 28 September depan untuk sebutan semula kes.