TEAM Equipo Kern Pharma akan mengetuai tiga pasukan berstatus ProTeam dari Sepanyol yang dijangka tampil lebih bersedia pada edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) dari 27 September hingga 4 Oktober depan.
Selain Kern Pharma, dua lagi pasukan Sepanyol ialah Burgos Burpellet-BH dan Caja Rural-Seguros RGA, yang mempunyai pengalaman beraksi dalam LTdL sebelum ini.
Kern Pharma, yang turut beraksi di Vuelta a Espana tahun ini, menyenaraikan enam pelumba utama termasuk Marc Brustenga Masague, Pablo Carascosa Miller, Ivan Cobo Cayon, Inigo Elosegui Momene, Nil Gimenez Ferrer dan Jorge Gutierrez Gonzalez, selain enam pelumba simpanan.
Senarai simpanan itu turut menampilkan juara LTdL22, Ivan Ramiro Sosa, yang ketika itu mewakili pasukan WorldTeam Movistar.
Pasukan kendalian pengurus Mikel Ezkieta Kitzi itu dijangka memuktamadkan enam pelumba terakhir selepas menilai prestasi mereka di Vuelta serta beberapa perlumbaan sehari di Eropah sebelum ke Malaysia untuk Peringkat 1 dari Shah Alam ke Kampar pada 27 September.
Kern Pharma, yang kali pertama menyertai LTdL pada 2023 dan muncul juara keseluruhan berpasukan pada 2024, dijangka mempertaruhkan Carascosa, Cobo, Elosegui dan Gutierrez dalam misi memburu jersi pendahulu serta Raja Bukit, manakala Brustenga dan Gimenez Ferrer menjadi sandaran untuk kemenangan peringkat laluan landai.
Burgos Burpellet-BH pula mempertaruhkan Jose Manuel Diaz Gallego, Mario Aparicio dan Jose Luiz Faura sebagai antara pendaki utama, selain Jambaljamts Sainbayar dari Mongolia dan Josh Burnett dari New Zealand untuk laluan berbukit.
Pelumba Greece, Georgios Bouglas yang mempunyai tujuh kemenangan karier termasuk gelaran Raja Pecut Tour of Albania tahun ini, menjadi sandaran utama pasukan itu dalam perebutan kemenangan peringkat.
Gallego, 31, yang memiliki empat kemenangan karier, masing-masing menduduki tempat keenam keseluruhan LTdL24 dan kelapan tahun lalu, manakala Aparicio, 26, pernah meraih gelaran Raja Bukit LTdL24.
Burgos, yang tampil buat kali ketiga dan menduduki tempat ketiga keseluruhan berpasukan LTdL25, turut mengharapkan pengalaman Sainbayar yang pernah tiga musim bersama Terengganu Cycling Team (TSG) bagi membantu menghadapi laluan LTdL26.
Sementara itu, Caja Rural menyenaraikan Abel Balderstone, Nil Aguilera, Julen Arriolabengoa, Gorka Corres, Iuri Leitao dan Iker Villa Galdeano, dengan Balderstone yang beraksi di Tour de France tahun ini menjadi antara sandaran utama di laluan mendaki.
Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, senarai awal ketiga-tiga pasukan itu jelas menunjukkan tumpuan mereka terhadap cabaran pendakian.
“Walaupun ini bukan senarai muktamad, Kern Pharma, Burgos dan Caja Rural berpengalaman dalam LTdL dan beberapa perlumbaan besar di Asia. Barisan pelumba mereka cenderung kepada gelaran keseluruhan mungkin kerana menyedari adanya dua pendakian ke puncak berstatus Hors di Cameron Highlands dan Genting Highlands, selain pendakian Kategori 1 di Gunung Jerai.
“Dengan ramai pendaki yang turut beraksi di Vuelta dan Tour de France selain beberapa lagi perlumbaan ProSeries di Eropah dan Asia seperti Presidential Tour of Turkiye, Tour of Hainan, Tour of Qinghai Lake, Volta a Portugal, Vuelta a Burgos dan Tour of Slovenia sejak dua tiga bulan lalu, barisan pelumba dari Sepanyol dijangka menyerlah pada LTdL26 ini,” katanya.
LTdL26 dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN), dengan sokongan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), membabitkan lapan peringkat sejauh 1,285.5 kilometer.