SHAH ALAM - Seorang individu ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan mengakibatkan seorang lelaki maut di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu menerusi panggilan orang awam yang memaklumkan berlaku pergaduhan di lokasi berkenaan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2 petang.
"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sekumpulan lelaki bergaduh sebelum berlaku kejadian tetak antara mereka.
"Turut dikesan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza berwarna biru melanggar salah seorang suspek sehingga menyebabkan lelaki berkenaan maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, kes disalurkan kepada Pasukan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi mengesan individu yang terbabit.
"Hasil tindakan pasukan berkenaan, seorang lelaki warga India berjaya ditahan untuk membantu siasatan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan dua individu ditemui terbaring di atas jalan dipercayai akibat ditetak dalam kejadian di Seksyen 28 di sini pada Selasa.
Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi rakaman video papan pemuka sebuah kenderaan yang memaparkan beberapa individu berlari di lokasi kejadian manakala dua lagi individu terbaring di atas jalan.
Dalam perkembangan sama, Sarudin berkata, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Shah Alam telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, pihak polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian atau mana-mana individu yang terbabit.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Shamsiah Noor Zakaria di talian 012-8308706 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.