Jangan sebar maklumat tidak sahih kes guru KAFA hilang - Polis

Iklan
Mohamad Hijazi dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya di Sungai Ara pada 22 Ogos lalu.

BAYAN LEPAS – Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kes kehilangan seorang lelaki berusia 26 tahun, Mohamad Hijazi Zamri.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, siasatan lanjut serta usaha mengesan lelaki berkenaan masih giat dijalankan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, polis turut meneliti sebarang maklumat yang disebarkan berkaitan kes kehilangan itu.

“Penyebaran maklumat yang tidak disahkan juga boleh menjejaskan dan mengganggu siasatan polis yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan lelaki berkenaan menyalurkan maklumat terus kepada polis di talian 04-8662222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini, polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kehilangan Mohamad Hijazi dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Iklan

Mohamad Hijazi yang juga guru KAFA dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya di Sungai Ara di sini pada 22 Ogos lalu.

Polis menerima laporan berhubung kehilangan lelaki terbabit yang dibuat bapanya pada 23 Ogos lalu.

Hasil siasatan mendapati Mohamad Hijazi meminta izin daripada ibunya untuk ke Surau Al-Muttaqin, Lilitan Sungai Ara dengan menunggang motosikal Yamaha LC135 berwarna biru bernombor pendaftaran PQG275.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi ahli keluarganya.