KUNAK - Tiga sekeluarga maut manakala tiga lagi individu cedera selepas kenderaan jenis Perodua Viva yang dinaiki mereka terbabas di Kampung Sungai Atas, di sini pada Selasa.
Identiti kesemua mangsa kejadian pada kira-kira jam 6 petang itu belum dikenal pasti setakat ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.05 petang.
Katanya, empat anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh enam kilometer dari BBP Kunak.
"Menurut maklumat, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Perodua Viva yang terbabas sendiri di laluan tersebut.
"Enam mangsa terlibat berada di luar kenderaan, dipercayai tercampak keluar dan tiada mangsa yang tersepit.
"Tiga mangsa yang merupakan nenek, menantu dan cucu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan manakala tiga yang lain mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Tambah beliau, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
"Sementara itu mangsa yang cedera dibawa menaiki ambulans ke Hospital Kunak untuk rawatan susulan," katanya.
Mohamad Omarbatha berkata, operasi ditamatkan pada jam 7.31 malam selepas pasukannya memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.