SHAH ALAM - Taman Tema Sunway mengesahkan insiden membabitkan sebuah tarikan di Sunway Lagoon pada 22 Ogos lalu melibatkan 10 pengunjung, sekali gus melahirkan rasa kesal terhadap kejadian berkenaan.
Dalam kenyataan pada Selasa, Taman Tema Sunway berkata, pihaknya amat prihatin terhadap pengunjung yang terjejas serta kesulitan yang dialami mereka dan keluarga masing-masing.
"Keselamatan dan kesejahteraan pengunjung adalah keutamaan kami. Sejak insiden tersebut, tumpuan utama kami adalah terhadap penjagaan dan kesihatan pengunjung yang terlibat.
"Kami telah menyediakan bantuan perubatan yang diperlukan dan terus berhubung rapat dengan pengunjung dan keluarga mereka," katanya.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan polis menyiasat insiden kemalangan roller coaster yang mengakibatkan 10 individu cedera di sebuah taman tema di Subang Jaya, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam sebelum pihaknya menerima laporan pada jam 11.45 pagi keesokan harinya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati seramai 22 penumpang roller coaster terdiri daripada warga tempatan dan pelancong luar negara berusia antara 11 hingga 44 tahun sedang menaiki permainan berkenaan ketika kejadian.
Dalam pada itu, Taman Tema Sunway memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkuasa berkaitan bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden berkenaan.
"Kami bersedia meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa dan individu yang terlibat sepanjang proses ini," katanya.
Taman Tema Sunway turut menegaskan pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan kekal komited memastikan semua tarikan serta fasiliti mencapai tahap keselamatan tertinggi.