UK, EU tegaskan hak pelarian Rohingya pulang ke Myanmar

Iklan
Pelarian Rohingya membawa guni beras yang diterima sebagai bantuan catuan daripada Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) pada 18 April lalu. Foto Reuters

DHAKA - Britain, Kesatuan Eropah (EU) dan 14 misi diplomatik lain menegaskan hak etnik Rohingya untuk kembali ke Myanmar ketika krisis pelarian itu memasuki tahun kesembilan pada Selasa.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan sempena Hari Peringatan Genosid Rohingya pada 25 Ogos, tarikh memperingati penghijrahan besar-besaran etnik berkenaan ke Bangladesh pada 2017.

Iklan
Iklan

Bangladesh kini menempatkan kira-kira 1.2 juta pelarian Rohingya, kebanyakannya di Cox's Bazar selepas mereka melarikan diri daripada tindakan keras tentera Myanmar.

Bagaimanapun, misi diplomatik berkenaan berkata, konflik yang semakin meruncing di negeri Rakhine serta peningkatan keperluan kemanusiaan menyebabkan keadaan masih belum sesuai untuk kepulangan pelarian.

Iklan

Menurut kenyataan itu, ketidakstabilan keselamatan, serangan udara terhadap infrastruktur awam serta sekatan bantuan dan perdagangan oleh pihak berkuasa Myanmar terus memburukkan krisis kemanusiaan.

Keadaan tersebut turut menyebabkan lebih ramai penduduk melarikan diri ke Bangladesh dan negara lain di rantau itu, selain mengakibatkan kehilangan nyawa dalam perjalanan berbahaya melalui laut.

Iklan

“Keadaan ketika ini tidak membolehkan penghantaran pulang dilakukan secara sukarela, selamat, bermaruah dan mampan,” menurut kenyataan itu.

Mereka menegaskan usaha membawa pulang Rohingya memerlukan pendekatan strategik dan jangka panjang bagi menangani punca perpindahan, membina kepercayaan antara komuniti serta mewujudkan keamanan dan kestabilan di Myanmar.

Misi diplomatik terbabit turut berikrar meneruskan kerjasama dengan Bangladesh bagi mewujudkan keadaan yang membolehkan Rohingya kembali ke negara asal mereka.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa masyarakat antarabangsa memberi perhatian dan mengambil tindakan baharu bagi menangani nasib etnik Rohingya.

Jurucakapnya, Stephane Dujarric berkata, komuniti Rohingya di Myanmar, Bangladesh dan seluruh rantau terus berdepan ketidakstabilan, perlindungan semakin terhad serta prospek penyelesaian jangka panjang yang semakin tipis.

Menurutnya, Rohingya dan komuniti lain di Myanmar turut berdepan pencabulan hak asasi manusia termasuk pembunuhan orang awam, sekatan pergerakan dan bantuan kemanusiaan, pengambilan secara paksa, penahanan sewenang-wenangnya serta keganasan seksual.

Guterres turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah Rohingya yang terkorban di laut dan menggesa kerjasama serantau dipertingkat dalam operasi mencari dan menyelamat serta usaha membanteras pemerdagangan manusia.

Beliau pada masa sama menggesa tindakan kolektif antarabangsa diperkukuh bagi mencari penyelesaian politik menyeluruh yang mampu menangani punca berpanjangan krisis di Myanmar. - Agensi