Selepas 12 tahun bersara, Norzan Ahmad dinobat Tokoh Maulidur Rasul Pahang 2026

Iklan
Norzan ditemani keluarga hadir menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang 1448H/2026.

PEKAN - Bekas Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Datuk Indera Norzan Ahmad, 72, dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang 1448H/2026.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah itu dalam majlis yang berlangsung di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Selasa.

Iklan
Iklan

Anak kelahiran Kampung Sanggang, Temerloh itu membawa pulang wang tunai RM10,000, plak dan sijil penghargaan.

Norzan yang kini memikul tanggungjawab sebagai pengerusi Masjid Bukit Setongkol, Kuantan mengakui hanya mengetahui dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan beberapa hari lalu.

Iklan

"Saya tak jangka dipilih sebagai penerima. Walau apa pun saya anggap anugerah ini sebagai rezeki daripada ALLAH SWT.

"Sudah tentu saya gembira dan bersyukur kerana selepas 12 tahun bersara, tidak pernah terlintas pun dalam gambaran akan menerima anugerah begini," katanya ketika ditemui selepas selesai sambutan itu.

Iklan

Menurutnya, selepas bersara, beliau lebih banyak menumpukan perhatian kepada aktiviti berkaitan keagamaan dan kemasyarakatan.

Selain memikul amanah sebagai Pengerusi Masjid Bukit Setongkol selama tiga penggal hingga kini, bapa kepada lima anak itu turut menguruskan sebuah madrasah tahfiz di Kampung Sanggang.

"Ketika ini kita ada 13 pelajar dari pelbagai daerah," katanya.

Norzan berkata, beliau turut aktif dalam Kelab Warga Emas Kampung Sanggang di bawah Klinik Kesihatan Kampung Sanggang selain membantu pelbagai aktiviti kemasyarakatan di kampung berkenaan.

Beliau yang sudah mempunyai enam cucu berkata, pengalaman 36 tahun sebagai penjawat awam turut menjadi asas kepada komitmennya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat selepas bersara.

Dalam pada itu, Norzan berkata, beliau kini dalam proses menubuhkan sebuah yayasan yang akan memberi tumpuan kepada pembiayaan madrasah yang diuruskannya selain bantuan pendidikan kepada pelajar kurang berkemampuan.

"Yayasan ini masih dalam proses penubuhan dan dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh kira-kira dua tahun lagi.

"Selain membantu madrasah, yayasan ini juga dirancang untuk membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ke universiti dan keperluan lain," katanya.