KUALA TERENGGANU – Gajah liar betina tersesat yang digelar 'Mek Jeram' oleh penduduk Kampung Jeram, Manir di sini akhirnya 'akur' selepas termakan pujukan dua gajah denak, Indah dan Suria untuk dipindahkan ke Taman Negeri Royal Belum, Perak pada Selasa.
Mamalia berkenaan hanya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk dipujuk oleh kedua-dua gajah denak berkenaan sebelum diiring menaiki lori kira-kira jam 10.30 pagi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, operasi pemindahan bermula jam 8 pagi itu berjalan lancar dengan kekuatan 21 anggota serta pegawai dari pelbagai unit.
"Operasi kali ini diketuai Mohd Firdaus Hasbullah bersama 12 kakitangan Perhilitan Terengganu, tujuh anggota Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka dan dua kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.
"Gajah liar yang dipindahkan berada dalam keadaan selamat serta stabil sebelum dibawa ke lokasi pelepasan semula di Taman Negeri Royal Belum, Perak," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi yang terlibat atas sokongan dan kerjasama erat sepanjang operasi menyelamat dan pemindahan itu dijalankan.
Kisah 'Mek Jeram' mula tular sejak Jumaat lalu apabila kelibatnya dikesan berkeliaran di kawasan kampung berkenaan sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan.
Kehadiran haiwan berkenaan turut menyebabkan kerosakan pada kawasan pertanian penduduk termasuk tanaman pisang dan tebu.
Tindakan pantas pihak berkuasa susulan aduan yang diterima membolehkan Perhilitan menjejak dan menangkap gajah liar tersebut pada Sabtu sebelum proses persediaan dan pemindahan dijalankan dengan bantuan Indah dan Suria.