Naib juara dunia belum jamin Aaron-Wooi Yik kekal bersama

Iklan
Herry Iman Pierngadi - Foto: Bernama

STATUS Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai naib juara Kejohanan Badminton Dunia 2026 belum cukup untuk memastikan gandingan beregu lelaki utama negara itu terus dikekalkan, kata ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi.

Beliau berkata, pihak kejurulatihan masih memerlukan penilaian menyeluruh terhadap prestasi pasangan nombor empat dunia itu serta kombinasi lain sebelum keputusan mengenai gandingan terbaik dibuat pada penghujung tahun.

Iklan
Iklan

"Walaupun mereka tidak juara, keputusan mereka cukup baik. Tapi kalau mahu lebih baik lagi kalau dia juara pasti lebih baik," katanya ketika ditemui media sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Selasa.

Menurut Herry, antara kelebihan Aaron-Wooi Yik ialah keserasian yang telah terbina selepas sekian lama berpasangan, sekali gus membantu mereka menampilkan permainan pada tahap optimum dalam kejohanan dunia.

Iklan

Bagaimanapun, bekas juara dunia 2022 itu tetap akan melalui proses pertukaran pasangan seperti yang dirancang sebelum ini.

Aaron-Wooi Yik terpaksa berpuas hati sebagai naib juara selepas tewas 17-21, 16-21 kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam aksi final di Stadium Tertutup Indira Gandhi, New Delhi, baru-baru ini.

Iklan

"Memang ini perancangan seperti itu. Jadi selepas Kejohanan Dunia, mereka akan kembali dipisahkan. Nanti setelah akhir tahun baru kita tengok hasilnya...kita akan buat penilaian apakah pasangan ini kekal atau tidak," katanya.

Herry berkata, penilaian berkenaan turut mengambil kira keberkesanan gandingan baharu yang dibentuk, selain potensi pemain untuk dibangunkan dalam perancangan jangka panjang.

Tambah beliau, percaturan menukar pasangan dalam beberapa kejohanan sebelum ini juga memberi manfaat besar, khususnya dalam menambah pengalaman pemain muda serta membantu barisan kejurulatihan mengenal pasti kombinasi terbaik.