KUALA TERENGGANU – Umat Islam dituntut menzahirkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW melalui amalan yang berterusan, akhlak mulia serta penghayatan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.
Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, meneladani Rasulullah SAW tidak mencukupi dengan hanya melalui pengakuan kecintaan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi amalan berterusan walaupun ia kelihatan kecil pada pandangan manusia.
"Baginda mengajar umatnya bahawa nilai sesuatu amalan bukan semata-mata pada banyaknya perbuatan, tetapi pada keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah dalam melaksanakannya.
Baginda bertitah demikian sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1448H / 2026M di Stadium Negeri, di sini pada Selasa.
Tengku Muhammad Ismail bertitah, sambutan Maulidur Rasul merupakan acara tradisi masyarakat Islam di Malaysia bagi memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW yang telah memenuhi amanah sebagai penyeru kebenaran dan pembawa rahmat kepada sekalian alam.
Titah Baginda, dalam perjalanan menyampaikan risalah ALLAH, Rasulullah SAW berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ujian berat, namun berjaya menghadapinya dengan kekuatan iman dan keteguhan jiwa sehingga sempurnalah amanah menegakkan kalimah tauhid.
"Baginda memimpin umat dengan penuh kasih sayang, belas ihsan dan kebijaksanaan berlandaskan panduan wahyu Ilahi. Sifat rahmah yang dizahirkan dalam setiap tutur kata dan tindakan Baginda menjadi teladan sepanjang zaman dalam membina masyarakat yang saling menyayangi, menghormati, amanah dan bertanggungjawab," titah Baginda lagi.
Sehubungan itu, Baginda menyeru rakyat agar memastikan setiap amalan yang dilakukan dapat mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dengan memelihara perkara wajib, memperbanyak kebajikan, menabur jasa serta memberi manfaat kepada sesama insan.
Baginda turut mendoakan agar ALLAH SWT mengurniakan kekuatan untuk terus memperkukuh perpaduan, memelihara keamanan dan kesejahteraan negeri serta melimpahkan rahmat dan keberkatan kepada seluruh umat Islam.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bertepatan dengan tema sambutan tahun ini iaitu"Madani Dihayati, Ummah Diberkati", kerajaan negeri akan terus memperkukuh pelbagai program berteraskan ilmu, penghayatan sirah dan pembinaan akhlak.
Jelas beliau, langkah itu penting agar sambutan berkenaan tidak sekadar menjadi acara tahunan, sebaliknya muncul sebagai pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih berilmu, berintegriti dan berakhlak mulia.
"Mudah-mudahan setiap pengisian yang dilaksanakan menjadi wahana memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap sirah dan sunnah Rasulullah SAW agar terus menjadi pedoman dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis sambutan ini. Semoga kecintaan kita kepada Rasulullah SAW sentiasa diterjemahkan melalui akhlak, amalan, kepimpinan dan khidmat bakti berteraskan sunnah Baginda," katanya.
Pada majlis tersebut, turut disampaikan Anugerah Kepimpinan Komuniti dimenangi oleh pertubuhan komuniti Gong Tok Nasek Care yang membawa pulang hadiah sijil dan wang tunai berjumlah RM5,000, manakala Anugerah Sukarelawan Ummah dirangkul aktivis Misi Flotilla Kemanusiaan Antarabangsa Muhd Asmawi Mukhtar @ Awang yang menerima hadiah sijil dan wang tunai RM2,000.
Sementara itu Anugerah Pengkarya Islamik dimenangi oleh Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi.