JIM buat laporan polis, dakwaan tular berhubung UTC Pudu

Iklan
JIM membuat laporan polis berhubung hantaran tular tentang pengalaman seorang pemohon ketika berurusan di Pejabat Imigresen Cawangan UTC Pudu Sentral, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuat laporan polis berhubung hantaran pengalaman seorang individu ketika berurusan di Pejabat Imigresen Cawangan UTC Pudu Sentral baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya mengambil serius hantaran yang tular itu dan telah membuat semakan dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rekod berkaitan serta mendapatkan keterangan pegawai yang bertugas ketika kejadian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semakan JIM mendapati terdapat beberapa dakwaan dalam hantaran berkenaan yang tidak selaras dengan rakaman CCTV, rekod berkaitan dan keterangan yang diperoleh pihak jabatan.

"JIM memandang serius perkara ini bagi memastikan keadaan sebenar dapat diperjelaskan berdasarkan fakta yang diperoleh.

Iklan

"Susulan itu, satu laporan polis sudah dibuat untuk tindakan selanjutnya dan JIM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, satu hantaran di Threads berkaitan seorang individu mendakwa dimalukan ketika berurusan di Pejabat Imigresen Cawangan UTC Pudu Sentral baru-baru ini.

Iklan

Zakaria berkata, JIM menghormati hak setiap individu untuk menyuarakan pandangan, berkongsi pengalaman atau mengemukakan aduan berkaitan perkhidmatan jabatan.

"Namun, perkongsian maklumat yang tepat dan menyeluruh amat penting bagi memastikan sesuatu perkara dapat dinilai secara adil serta mengelakkan sebarang salah faham," katanya.

Beliau berkata, JIM kekal komited memastikan setiap aduan ditangani secara telus, profesional dan tanpa prejudis kepada mana-mana pihak.

Katanya, pihaknya turut akan terus memberikan perkhidmatan secara berhemah, berintegriti serta mengutamakan kepentingan masyarakat.