MOF, JKDM, Petronas digesa beri penjelasan kawal selia, cukai kargo petroleum

Iklan
MOF, JKDM dan Petronas digesa memberikan penjelasan bersama berhubung aspek kawal selia serta percukaian kargo petroleum yang dikendalikan menerusi prosedur pengikraran K8. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Petronas digesa memberikan penjelasan bersama berhubung aspek kawal selia serta percukaian kargo petroleum yang dikendalikan menerusi prosedur pengikraran K8.

Pemain Industri Maritim, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy berkata, pihak berkaitan perlu menjelaskan sama ada kargo petroleum yang dicampurkan (commingled) dalam tangki darat di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor, dibenarkan termasuk dokumen diperlukan serta kaedah percukaian terhadap kargo berkenaan.

Iklan
Iklan

"Perkara ini kini memerlukan penjelasan yang jelas daripada pihak berkuasa berkaitan kawal selia dan percukaian.

"Industri perlu mengetahui sama ada amalan itu dibenarkan, apakah dokumen yang perlu mengiringi kargo dan bagaimana layanan cukai ditentukan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Gesaan itu susulan surat rasmi bertarikh 20 Ogos daripada SPRM yang memaklumkan suruhanjaya berkenaan telah meneliti kebimbangan mengenai prosedur pengikraran K8 menerusi semakan silang dengan JKDM, MOF dan Petronas.

Jeyenderan berkata, surat berkenaan menyatakan semakan itu tidak menemukan asas bagi kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 serta tiada ketirisan hasil kerajaan dikenal pasti setakat ini.

Iklan

K8 ialah pengikraran kastam yang digunakan bagi barangan, termasuk kargo minyak, yang dibawa masuk ke Malaysia secara sementara untuk tujuan transshipment dan tidak bertujuan untuk dijual atau digunakan dalam negara.

Media pada pada 13 Ogos lalu melaporkan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementeriannya akan mendapatkan penjelasan daripada MOF berhubung kebimbangan mengenai layanan cukai terhadap kargo minyak yang dicampurkan.

Loke berkata kementeriannya masih belum dimaklumkan mengenai sebarang cukai baharu terhadap kargo berkenaan, sambil menambah perkara itu berada di bawah bidang kuasa JKDM dan MOF.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse turut dilaporkan akan membangkitkan di Parlimen kebimbangan berhubung ketidakpastian percukaian kargo minyak yang dicampurkan dan disimpan dalam tangki darat di Pelabuhan Tanjung Langsat.

Beliau yang juga anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Ekonomi dan Kewangan berkata, akan menggesa jawatankuasa itu memanggil pihak berkaitan bagi memberikan penjelasan serta membincangkan penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Dalam pada itu, Jeyenderan berkata penjelasan daripada MOF, JKDM dan Petronas penting bagi menghapuskan ketidakpastian dalam kalangan pemain industri serta memastikan pengendalian kargo petroleum menerusi operasi transshipment mematuhi keperluan kawal selia, kastam dan percukaian sedia ada.

Jelasnya, kebimbangan sebelum ini timbul berhubung dakwaan pencampuran kargo petroleum berbeza dalam tangki darat selepas proses pemunggahan dari kapal.

"Keadaan itu boleh menimbulkan persoalan berkaitan pengenalpastian kargo, dokumentasi, penilaian dan taksiran cukai sekiranya tidak dikawal selia dengan sewajarnya.

"Hasil maklum balas SPRM menjawab persoalan sama ada terdapat kesalahan di bawah Akta SPRM, bagaimanapun, masih terdapat keperluan untuk pihak berkuasa berkaitan menjelaskan kedudukan kawal selia dan percukaian dengan lebih jelas," katanya.