Isu Kuil Bukit Lagi: Polis beri amaran elak provokasi, anjur himpunan

Iklan
Polis menasihati semua pihak agar tidak bertindak mengikut perasan dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang didapati melanggar undang-undang. Gambar hiasan

KANGAR - Polis memberi amaran tegas kepada semua pihak supaya tidak bertindak keterlaluan termasuk menganjurkan himpunan yang boleh mencetuskan provokasi berhubung isu Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, di sini.

Pemangku Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zaihairul Idrus berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai himpunan kuning biru serta himpunan merah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan isu terbabit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, polis menasihati semua pihak agar tidak bertindak mengikut perasan dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang didapati melanggar undang-undang.

"Pihak berkaitan disaran mengambil tindakan undang-undang jika tidak berpuas dengan tindakan yang telah diambil oleh pihak kerajaan," katanya.

Iklan

Berdasarkan satu poster yang dipaparkan di media sosial, terdapat himpunan kuning biru dipercayai dianjurkan berhubung tindakan pihak berkuasa merobohkan kuil berkenaan.

Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan berhubung cubaan penganjuran himpunan merah, juga dipercayai mempunyai kaitan sama.

Iklan

Zaihairul sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya menjalankan siasatan lanjut dan akan memanggil penganjur dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak memainkan isu agama atau sentimen yang menyentuh institusi raja, agama dan kaum (3R) yang boleh memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum.

Isu Kuil Bukit Lagi tercetus berikutan tindakan merobohkan kuil terbabit baru-baru ini kerana didapati didirikan tanpa kebenaran.

Difahamkan, notis pengosongan telah dikeluarkan sejak Januari 2026 memaklumkan tindakan berkenaan.