Kepala dihentak ke papan putih, pelajar Tingkatan Tiga patah hidung, retak bahu

Iklan
Mangsa dan ibunya menunjukkan laporan polis yang dibuat bagi mengambil tindakan saman. Foto SINAR HARIAN/ ADILA SHARINNI WAHID

TANAH MERAH - Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga patah hidung dan retak bahu kanan selepas didakwa dipukul seorang pelajar perempuan sebaya di sebuah sekolah menengah di daerah ini.

Kejadian itu berlaku pada 30 April lalu, namun lebih memilukan apabila mangsa yang berusia 15 tahun tersebut mengalami trauma emosi sehingga kini dan terpaksa menjalani rawatan psikiatri selain lanjutan dengan pakar tulang, hidung, telinga dan tekak (ENT) serta mulut.

Iklan
Iklan

Menurut ibu mangsa yang berusia 45 tahun, pertikaian itu dipercayai bermula selepas anaknya memberikan jawapan secara spontan ketika guru bertanya mengenai ketidakhadiran beberapa pelajar dalam satu aktiviti kokurikulum.

"Anak saya jawab secara spontan, ‘tak tahu, ponteng kot’ tetapi dia tidak berniat untuk memberitahu atau mengadu mengenai sesiapa.

Iklan

“Keesokan hari lepas tu, berlaku pertengkaran hingga anak saya ditarik dan dihentakkan kepalanya ke papan putih, itu saja yang dia ingat,” katanya.

Ujarnya, dia dimaklumkan guru disiplin berhubung kejadian itu dan terus ke bilik disiplin sekolah.

Iklan

“Anak saya ada di situ dan masa tu saya nampak darah keluar dari hidung dan mulut dia masa dia bercakap selain mata bengkak.

“Lepas tengok keadaan dia macam tu, saya papah dia turun tangga dari tingkat satu masuk ke kereta dan membawanya sendiri ke Hospital Tanah Merah,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Ibu mangsa yang menunjukkan kad-kad rawatan susulan mangsa di hospital akibat daripada kejadian itu. Foto SINAR HARIAN/ ADILA SHARINNI WAHID

Dia berkata, pemeriksaan di hospital mendapati tulang hidung anaknya patah, manakala kecederaan pada mulut memerlukan lima jahitan.

“Pada hari sama saya membuat laporan polis di Balai Polis Batu Gajah sekitar jam 1 tengah hari dan selesai memberikan keterangan.

“Tapi, selepas pulang ke rumah di Jeli, keadaan anak semakin membimbangkan apabila dia mengadu sakit kepala dan muntah.

“Selepas itu, dia juga payah nak berjalan sehingga terpaksa berpaut pada dinding dan dipapah,” katanya.

Menurutnya, keadaan anaknya berlarutan sehingga memerlukan beberapa pemeriksaan dan rawatan susulan hingga dikesan retak bahu kanan serta terkepit saraf lengan.

“Anak masih dalam rawatan dan cuti sakit sehingga September ini. Doktor beritahu mungkin perlu pembedahan bahagian saraf lengan dia.

“Paling saya risau keadaan emosinya sampai sekarang dia masih kerap meracau dan mengigil malah kalau ke sekolah, saya perlu menghantarnya hingga ke kelas walaupun sudah pindah ke sekolah lain,” katanya.

Katanya, anaknya itu mula berpindah sekolah baharu pada 16 Ogos lalu selepas mendapat nasihat doktor supaya tidak terus berada dalam persekitaran yang mengingatkannya kepada kejadian berkenaan.

Ujar ibu tunggal itu, pihaknya kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang dan saman melalui Tetuan Syukran Noordin berhubung kejadian berkenaan selain mengekalkan laporan polis yang dibuat selepas kejadian.

“Saya nak keadilan untuk anak, dia alami kesakitan dan masih menjalani rawatan, saya juga menanggung kos rawatan serta kesan emosi akibat kejadian itu.

“Saya cuma berharap perkara seperti ini tidak berlaku kepada pelajar lain. Sebagai ibu, saya mahu anak saya kembali menjalani kehidupan seperti biasa tanpa terus dihantui ketakutan,” katanya.