Kematian pelajar Tingkatan Dua: Ibu dakwa anak dibuli, polis rekod keterangan 92 individu

Iklan
Polis merekodkan 92 keterangan saksi untuk membantu siasatan kes kematian seorang pelajar sekolah menengah di rumahnya.

KUALA LUMPUR - Polis merekodkan 92 keterangan saksi untuk membantu siasatan kes kematian seorang pelajar sekolah menengah di rumahnya di Jalan Langkawi di sini dengan dakwaan elemen buli.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, laporan polis dibuat ibu mangsa pada jam 7.49 pagi, 19 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil maklumat awal, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju telah menjalankan siasatan.

"Sebanyak 92 keterangan saksi telah dirakam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Iklan

"Kes masih dalam siasatan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi ke atas kejadian ini," katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan maklumat kepada Pengawai Penyiasat kes, Asisten Superintenden Baldev Singh Gurdial Singh di talian 03-92899222 atau 012-4806062 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Iklan

Sebelum itu, ibu mangsa dikenali Kasturi dilaporkan berkata, apa yang diharapkannya kini hanyalah keadilan dan kebenaran mengenai apa yang sebenarnya berlaku kepada anaknya.

Kata Kasturi, dia mahu kes yang menimpa anaknya itu menjadi yang terakhir dan tidak ada lagi anak lain menjadi mangsa.

Kasturi juga mendakwa anaknya berdepan tekanan buli.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan siasatan dalaman berhubung kematian pelajar Tingkatan Dua itu yang dikaitkan dengan dakwaan buli verbal, termasuk kata-kata berunsur perkauman dapat diselesaikan segera.