KUALA KANGSAR - Kerajaan Perak kini berada di peringkat akhir menyelaraskan terma perjanjian melibatkan projek bekalan air terawat ke Pulau Pinang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, proses tersebut melibatkan penyelarasan antara Khazanah Air Perak Sdn Bhd (KAP) dan kerajaan negeri sebelum dimuktamadkan sepenuhnya.
Menurutnya, proses penyelarasan kini berada di peringkat akhir sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) untuk pertimbangan dan kelulusan.
"Saya kira kita sedang peringkat akhir untuk selaraskan terma perjanjian itu.
"Apabila semua terma dipersetujui, kita akan bawa ke MMK. Selepas diluluskan, barulah perjanjian boleh dimuktamadkan," katanya dalam sidang akhbar selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Jubli Perak di sini pada Isnin.
Beliau berkata, KAP menerusi anak syarikatnya, Prasarana Air dan Irigasi Perak Sdn Bhd (PAIP Perak) sebelum ini telah Perjanjian Bekalan Air Pukal (BWSA) dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP).
Menurutnya, dalam perkara itu, terdapat dua peringkat perjanjian yang perlu diselesaikan, termasuk antara syarikat pelaksana projek dan kerajaan negeri sebagai pemilik sumber air.
"Mereka (KAP) telah pun mempunyai perjanjian dengan Pulau Pinang bagi membekalkan air terawat.
"Pada masa sama, mereka juga perlu ada perjanjian dengan kerajaan negeri kerana kita adalah tuan punya air," katanya.
Media melaporkan, Khazanah Air Perak merupakan syarikat usaha sama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Gamuda Berhad bagi membangunkan serta melaksanakan projek pembekalan air terawat daripada lebihan sumber air mentah melalui Skim Bekalan Air Utara Perak (NPWSS).
Perjanjian yang ditandatangani bersama PBAPP antara lain menetapkan tempoh operasi selama 40 tahun, dengan penyerahan pertama bekalan air terawat disasarkan bermula pada suku pertama tahun 2032.
Sementara itu, mengulas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan, Saarani berkata, dalam siri kaki ini, sebanyak 290 aduan diterima iaitu yang tertinggi tahun ini.
Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 1,015 aduan direkodkan sejak siri pertama hingga kelima, dengan 892 aduan atau 82 peratus telah diselesaikan.
“Baki 186 aduan atau 18 peratus masih dalam tindakan,” katanya.
Pada siri kali ini juga, sebanyak 111 kaunter khidmat pelanggan dibuka bersama enam kaunter bergerak serta 14 reruai pameran termasuk Jualan Rahmah dan Jualan Murah.
Dalam majlis sama, Saarani turut menyempurnakan pelancaran Logo Pavilion Perak sempena penyertaan negeri pada MAHA 2026 di MAEPS, Serdang yang akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September.
Selain itu, beliau turut merasmikan van kaunter bergerak hasil inisiatif Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar melibatkan peruntukan RM1.25 juta bagi lima van di beberapa daerah utama negeri ini.