Cinta Nabi bukan sekadar untuk dipuji

Iklan
WARISKAN kecintaan kepada Rasulullah SAW kepada generasi seterusnya.

JHEAINS ingatkan umat Islam sepatutnya syukur, bangga selain buktikan cinta dengan akhlak baik

BULAN Rabiulawal mengingatkan umat Islam kepada kelahiran insan teragung iaitu Nabi Muhammad SAW yang diutuskan ALLAH SWT sebagai rahmat buat seluruh alam dan menjadi contoh terbaik dalam seluruh aspek kehidupan.

Kemuliaan Baginda SAW diiktiraf ALLAH SWT dalam firman-NYA: “Sesungguhnya kamu benar-benar memiliki akhlak yang amat hebat.” (Surah al-Qalam: 4)

Iklan
Iklan

“Ayat ini menegaskan keagungan Rasulullah SAW bukan hanya pada kedudukan Baginda sebagai utusan ALLAH SWT, bahkan terserlah melalui akhlak, budi pekerti dan kesantunan Baginda.

“Kemuliaan peribadi Rasulullah SAW turut diakui ramai sarjana termasuk sebahagian tokoh dan pengkaji sejarah yang bukan Islam,” ujar khatib pada permulaan khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) baru-baru ini.

Iklan

Menurut JHEAINS, sebagai umat, asas kecintaan kepada Rasulullah SAW bukanlah semata-mata kerana pujian manusia, tetapi kerana iman dan keyakinan bahawa Baginda ialah kekasih ALLAH SWT yang membawa hidayah untuk sekalian manusia.

UMAT Islam dituntut mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan dan hubungan sesama insan.

Iklan

“Kita yang terpilih menjadi umat Nabi Muhammad SAW sewajarnya bersyukur, berbangga dengan nikmat iman dan berusaha menjadikan Baginda sebagai teladan.

Oleh sebab itu katanya, kedatangan Rabiulawal tidak seharusnya diraikan dengan sambutan, selawat dan pujian semata-mata, tetapi hendaklah menjadi dorongan untuk memperbaharui cinta kepada Rasulullah SAW.

Bukti cinta melalui akhlak

Jelasnya, cinta kepada Rasulullah SAW itu perlu dibuktikan menerusi akhlak, ketaatan dan meneladani perjuangan Baginda.

“Antara sifat agung Rasululllah SAW yang wajar diteladani termasuklah kasih sayang Baginda terhadap umatnya.

Dalam sirah juga dirakamkan contoh yang ditunjukkan Rasulullah SAW, antaranya peristiwa pembukaan kota Makkah.

“Ketika itu Rasulullah SAW berada pada kedudukan yang kuat, namun Baginda memilih untuk memaafkan golongan yang pernah memusuhi, menyakiti dan mengusir Baginda.

“Peristiwa ini mengajar kita jiwa yang dekat dengan ALLAH SWT bukan jiwa yang menyimpan dendam, tetapi jiwa yang mampu memaafkan ketika mempunyai peluang untuk membalas,” hurainya.

Begitu juga pada hari akhirat kelak, manusia dikumpulkan di Padang Mahsyar dalam keadaan ketakutan dan waktu itulah Rasulullah SAW hadir dengan syafaat Baginda yang memudahkan orang yang beriman melalui ujian yang mencemaskan itu.

PENGAJIAN sirah Rasulullah SAW sepatutnya tidak hanya terhenti setakat di sekolah.

“Maka beruntunglah orang yang benar-benar mencintai Baginda, memperbanyakkan selawat dan berusaha mengikuti sunnah Baginda,” ujar khatib.

Akhlak sesama manusia

JHEAINS turut menyatakan dalam kehidupan, hubungan sesama manusia kadangkala menjadi keruh bukan kerana perkara besar, tetapi kerana kata-kata yang mengguriskan hati, sikap mementingkan diri dan kurangnya kepekaan terhadap perasaan orang lain.

“Sebagai contoh dalam rumah tangga, lidah yang tidak dijaga boleh melukai hati pasangan dan anak-anak. Dalam kejiranan pula, sikap tidak bertimbang rasa boleh menimbulkan perasaan kurang senang.

“Di masjid, cara kita meletakkan kenderaan, menjaga kebersihan dan menghormati ketenteraman jemaah turut mencerminkan akhlak kita. Di jalan raya, kesabaran ketika memandu boleh meredakan kemarahan pengguna jalan raya.

Tambahnya, orang yang benar-benar meneladani Rasulullah SAW pandai menahan lidah daripada menyakiti, merendahkan ego ketika ditegur, meminta maaf apabila tersilap dan memaafkan apabila disakiti.

Untuk memantapkan rasa cinta akan Rasulullah SAW, JHEAINS berpesan agar umat Islam mengamalkan perkara berikut:

1 - Kenalilah Rasulullah SAW dengan ilmu, bukan sekadar dengan perasaan.

Cinta yang benar perlu dibina atas pengenalan yang jelas terhadap kehidupan, perjuangan dan petunjuk yang Baginda tinggalkan.

TUNJUKLAH akhlak yang baik tidak kira di mana pun kita berada.

Oleh itu, bacalah sirah Rasulullah SAW dan dekatkan diri dengan majlis ilmu yang membicarakan keperibadian Nabi.

2 - Hadirkan rasa syukur kerana dipilih sebagai umat Nabi Muhammad SAW.

Melalui perjuangan Baginda jualah kita dapat menikmati nikmat Iman dan Islam untuk mencari keredaan ALLAH SWT.

Maka apabila nikmat menjadi umat Nabi SAW sentiasa dikenang, hati akan lebih mudah untuk berselawat dan mencontohi akhlak Baginda yang mulia.

3 - Wariskan kecintaan kepada Rasulullah SAW kepada generasi selepas kita.

Cinta kepada Baginda tidak cukup jika hanya hidup dalam diri sendiri, tetapi ia perlu disampaikan kepada anak-anak, keluarga dan masyarakat.

Ibu bapa boleh menceritakan perihal kesabaran, keberanian dan kasih sayang Rasulullah SAW dalam bahasa yang dekat dengan kehidupan anak-anak. Dengan cara ini, cinta kepada Rasulullah SAW akan terus subur dari satu generasi kepada generasi yang lain.