KUALA LUMPUR - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan menilai semula aspek keselamatan dan pengurusan risiko pelaksanaan aktiviti pengendalian haiwan berbisa susulan kematian seorang anggotanya dipatuk ular tedung selar dalam program di Temerloh Kuantan Pahang pada Sabtu.
APM dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, langkah itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan agensi berkenaan bagi memastikan aspek keselamatan dan kebajikan anggota sentiasa diberi keutamaan.
"Walaupun aktiviti pengendalian haiwan berbisa berkenaan dilaksanakan mengikut prosedur tetap operasi (PTO) serta tatacara keselamatan ditetapkan, APM mengambil serius setiap insiden yang berlaku.
Dalam kejadian tersebut, anggota APM, Sarjan (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin, 39, meninggal dunia di pada jam 1.50 pagi Ahad ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh.
Allahyarham merupakan anggota APM yang terlatih dan berkemahiran berdasarkan bidang kepakarannya selain mempunyai pengalaman berkhidmat bersama agensi itu sejak 2010.
ARTIKEL BERKAITAN: Anggota APM dipatuk ular meninggal dunia selepas lebih 14 jam bertarung nyawa
Anggota APM dipatuk ular ketika demonstrasi
'Tiga kali Allahyarham Muhamad Muazam dipatuk ular, pernah koma' - Kakak
APM menjelaskan, semua anggota diwajibkan untuk menghadiri latihan berkaitan sebelum dibenarkan untuk menyertai operasi.
"Selain itu, anggota yang terlibat juga telah menjalankan tugasan berdasarkan prosedur dan arahan keselamatan yang ditetapkan," katanya.
APM turut menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhamad Muazam Shah.
“Pemergian beliau merupakan kehilangan yang amat besar kepada APM dan negara,” katanya.