'Jangan jadi penonton bisu apabila lihat kepincangan di sekeliling'

Iklan
Hampir 600 warga PSA daripada Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Perdagangan yang mengambil kursus KIAR pada semester ini terlibat Misi Integriti: Membentuk sahsiah, memperkasa masa depan.

SHAH ALAM - Integriti perlu diterjemahkan dalam setiap tindakan, keputusan dan tanggungjawab yang dipikul terutama oleh generasi muda yang bakal menjadi tenaga profesional serta pemimpin negara.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), Edi Zuhri Abd Rahim berkata, nilai itu perlu dibentuk sejak di bangku sekolah hingga peringkat universiti kerana mahasiswa pada hari ini bakal menjadi golongan yang memikul amanah besar pada masa hadapan.

Iklan
Iklan

"Apabila melangkah ke alam pekerjaan kelak, mahasiswa bukan sahaja akan berdepan dengan tuntutan tugas, tekanan untuk mencapai sasaran dan pelbagai bentuk tanggungjawab, malah akan berhadapan dengan situasi yang memerlukan keberanian untuk membuat keputusan yang beretika," katanya ketika Program Misi Integriti: Membentuk sahsiah, memperkasa masa depan di Dewan Al-Jazari Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di sini pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PSA, Mohd Khairul Mu’adzim Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia – Rasuah Busters, Nurhayati Nordin.

Iklan

Misi integriti tersebut disertai hampir 600 warga PSA melibatkan penuntut Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Perdagangan yang mengambil kursus Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) pada semester ini.

Tambah Edi Zuhri, nilai integriti tidak boleh hanya dibentuk apabila seseorang sudah memegang jawatan atau mempunyai kuasa.

Iklan

Ujar beliau, sebaliknya ia perlu menjadi asas kepada pembentukan peribadi sejak seseorang masih bergelar mahasiswa.

“Apabila memasuki alam pekerjaan nanti, saudara dan saudari akan berhadapan dengan pelbagai cabaran, tanggungjawab dan situasi yang memerlukan keberanian untuk membuat keputusan yang beretika,” katanya.

Menurutnya, sebagai sebuah syarikat yang bernaung di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor), KHSB sendiri amat menitikberatkan nilai integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dalam pelaksanaan tanggungjawab organisasi.

Bagi KHSB beliau berkata, pembudayaan integriti tidak seharusnya bermula selepas seseorang memasuki sektor pekerjaan, ia perlu disemai lebih awal khususnya dalam kalangan generasi muda yang bakal menentukan corak kepimpinan, profesionalisme dan masa depan negara.

"Generasi muda, pemegang amanah masa depan. Mahasiswa bukan sekadar pelajar yang sedang mengejar segulung ijazah. Mahasiswa adalah bakal pentadbir, jurutera, pensyarah, akauntan, pegawai, usahawan, pemimpin dan pembuat keputusan pada masa hadapan.

"Apa yang pelajar pilih untuk pegang hari ini akan menentukan bagaimana anda menggunakan kuasa dan amanah apabila tiba masanya nanti. Sebab itu, membina generasi berintegriti tidak boleh hanya bergantung kepada undang-undang atau tindakan selepas kesalahan berlaku," katanya.

Edi Zuhri (tengah) bersama Nurhayati (kiri) dan Mohd Khairul Mu’adzim ketika Program Misi Integriti: Membentuk sahsiah, memperkasa masa depan di Dewan Al-Jazari PSA, Shah Alam pada Khamis.

Edi Zuhri berharap program berkenaan bukan sekadar memberikan pengetahuan kepada para mahasiswa sebaliknya menjadi titik kesedaran untuk mereka menjadikan integriti sebagai prinsip dalam kehidupan, pembelajaran dan kerjaya.

“Semoga usaha kecil kita pada hari ini dapat membentuk generasi yang berintegriti, berprinsip dan berani menolak rasuah demi masa depan yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khairul Mu’adzim berkata, penerapan pendidikan integriti dan anti-rasuah bukan sekadar bertujuan memenuhi keperluan akademik atau syarat kurikulum.

Beliau berkata, sebaliknya ia merupakan satu medium penting untuk membentuk watak, memperkukuh moral dan menyediakan penuntut menghadapi realiti dunia pekerjaan sebelum mereka benar-benar melangkah keluar daripada institusi pendidikan.

Ujarnya, dunia kerjaya dan korporat pada hari ini semakin mencabar dan kompleks, persaingan, tekanan untuk mencapai sasaran serta tuntutan terhadap prestasi boleh menjadi ujian kepada prinsip seseorang.

“Penguasaan akademik, kemahiran dan pencapaian semasa semata-mata tidak mencukupi untuk menjamin keberkatan serta kejayaan jangka panjang jika ia tidak dipagari oleh nilai amanah, profesionalisme dan akauntabiliti.

"Dalam dunia sebenar, seseorang mungkin mempunyai kepakaran yang tinggi, memegang jawatan penting dan mempunyai kuasa membuat keputusan.

"Namun tanpa integriti, segala kelebihan tersebut boleh berubah menjadi alat untuk melakukan salah guna kuasa dan pengkhianatan terhadap amanah," katanya,

Mohd Khairul Mu’adzim menegaskan bahawa rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan merupakan antara musuh utama pembangunan sesebuah organisasi, bangsa dan negara.

Katanya, jika tidak dibendung, perbuatan tersebut mampu meruntuhkan kepercayaan, merosakkan organisasi dan akhirnya memusnahkan masa depan generasi muda.

Menurutnya, masa depan negara berada di tangan generasi muda hari ini yang bakal menjadi tenaga kerja, profesional, pentadbir dan pemimpin pada masa hadapan.

“Saudara dan saudari sekalian akan menjadi tonggak kepada tenaga kerja negara. Justeru, asas yang dibina hari ini akan menentukan bagaimana amanah dan kuasa digunakan pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Nurhayati berkongsi penerapan nilai teras kesucian moral perlu bermula dari bilik kuliah dan dewan peperiksaan.

Ujarnya, nilai-nilai seperti kejujuran, ketelusan dan kebertanggungjawaban bukan sekadar teori yang diuji di atas kertas tetapi merupakan pasak asas yang membentuk jati diri mahasiswa sebelum melangkah ke alam kerjaya yang penuh cabaran.

"Tindakan memperteguhkan maruah diri adalah paling utama dalam mendepani ancaman penyelewengan dan kejatuhan moral. Jangan sesekali bertoleransi dengan kompromi prinsip sama ada dalam tugasan harian, pentadbiran persatuan, mahupun urusan kecil kerana setiap tindakan culas yang didiamkan hari ini adalah benih kerosakan yang akan merobohkan sistem organisasi esok.

"Sikap berani mempertahankan kebenaran perlu dipupuk supaya ia menjadi refleks semula jadi tatkala diuji dengan godaan atau kemewahan singkat. Pembentukan budaya membenci amalan kotor memerlukan peranan aktif setiap warga kampus secara holistik.

"Mahasiswa tidak boleh memilih untuk menjadi penonton yang bisu apabila menyaksikan kepincangan di sekeliling mereka," katanya.

Nurhayati turut menegaskan, etika yang teguh serta berani menegur penyelewengan merupakan manifestasi sebenar kepimpinan belia yang berkesan sekali gus membuktikan generasi muda PSA sedia menjadi pemangkin perubahan demi negara yang lebih berprestij.