Bukit Malut: Puluhan tahun menanti, bila noktahnya?

Iklan
Cadangan kerajaan Kedah supaya MKN mengambil tanah bagi membolehkan penempatan baharu dibangunkan adalah langkah yang wajar diberi perhatian serius.

ISU penempatan Bukit Malut tidak lagi wajar dilihat sekadar masalah tanah yang berlarutan sejak puluhan tahun, sebaliknya perlu dilihat sebagai persoalan masa depan ribuan penduduk yang memerlukan kediaman selamat, tersusun dan pada masa sama tidak memutuskan mereka daripada sumber rezeki.

Cadangan kerajaan Kedah supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil tanah bagi membolehkan penempatan baharu dibangunkan adalah langkah yang wajar diberi perhatian serius.

Iklan
Iklan

Kerajaan negeri menyatakan kesediaan membangunkan kira-kira 1,400 rumah menerusi anak syarikatnya sekiranya tanah disediakan dengan harga kediaman dicadangkan sekitar RM200,000 dan ke bawah.

Persoalannya, adakah pembinaan rumah baharu semata-mata mampu menyelesaikan masalah Bukit Malut?

Iklan

Jawapannya bergantung kepada sejauh mana perancangan itu mengambil kira realiti kehidupan penduduk.

Justeru, cadangan supaya penempatan baharu dibina berhampiran laut dan berbentuk rumah bertanah mempunyai asas yang munasabah.

Iklan

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini menjelaskan konsep rumah bertingkat kurang sesuai kerana penduduk yang bekerja sebagai nelayan perlu menyimpan peralatan seperti pukat, enjin bot dan pendayung.

Inilah perkara yang perlu menjadi prinsip utama jika projek penempatan benar-benar mahu direalisasikan.

Jangan pindahkan rumah, tetapi tinggalkan punca rezeki.

Kesilapan menempatkan komuniti nelayan terlalu jauh dari laut boleh menyebabkan rumah baharu yang cantik akhirnya tidak menyelesaikan masalah ekonomi penduduk.

Pada masa sama, isu tanah perlu diselesaikan secara menyeluruh. Kerajaan negeri memaklumkan kawasan Bukit Malut kini melibatkan tanah beberapa agensi termasuk Permodalan Kedah Berhad (PKB), Jabatan Hutan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), manakala penempatan sedia ada sudah berkembang dengan sekitar 1,200 hingga 1,400 rumah.

Maka tanpa penyelesaian status tanah, sebarang usaha pembangunan berisiko berdepan masalah sama pada masa depan atau perlu berpindah ke lokasi penempatan baharu.

Lebih penting, suara penduduk sendiri perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian. Penduduk dilaporkan sedia berpindah sekiranya rumah baharu lebih selesa, selamat, mempunyai kemudahan asas lengkap dan tidak menjejaskan sumber pendapatan, khususnya nelayan.

Cadangan harga bawah RM200,000 juga perlu diterjemahkan kepada kemampuan sebenar penduduk yang sebahagiannya bekerja sendiri dan bergantung kepada pendapatan harian. Rumah mampu milik tidak bermakna jika ansuran bulanan masih di luar kemampuan keluarga.

Dalam masa sama, penempatan baharu boleh menjadi peluang untuk menukar wajah Bukit Malut daripada kawasan yang sering dikaitkan dengan pelbagai persepsi negatif kepada sebuah komuniti nelayan yang tersusun dan mempunyai identiti sendiri.

Kerajaan juga perlu memastikan isu bekalan air, elektrik, sistem kumbahan, jalan raya, pengurusan sampah, keselamatan dan kemudahan awam diselesaikan serentak.

Apa yang diperlukan Bukit Malut bukan sekadar rumah baharu, tetapi masa depan baharu. Jika semua pihak benar-benar serius, penyelesaian isu ini perlu berakhir dengan sebuah penempatan yang memberikan penduduk tiga perkara asas iaitu rumah yang selamat, sumber rezeki yang terjamin dan kehidupan yang bermaruah.

Selepas puluhan tahun menunggu, penduduk Bukit Malut tidak seharusnya terus diwariskan masalah yang sama kepada generasi seterusnya. Kali ini, penyelesaian perlu benar-benar menjadi kenyataan.

Dalam pada itu, satu perkara juga perlu diperbetulkan dalam naratif mengenai Bukit Malut, mereka bukan warga asing atau Rohingya kerana kira-kira 92.2 peratus daripada sekitar 5,500 penduduk Bukit Malut memiliki MyKad.

*Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor ialah wartawan Sinar Harian