SURABAYA – Seorang lelaki berusia 39 tahun di Surabaya, Indonesia ditahan polis selepas didakwa merogol anak tirinya yang masih bawah umur sehingga mangsa disahkan hamil lima bulan.
Suspek yang dikenali sebagai H didakwa melakukan perbuatan itu sebanyak empat kali sejak Januari lalu, ketika isterinya keluar bekerja dan rumah berada dalam keadaan sunyi.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Wanita dan Kanak-Kanak (PPA-PPO) Polis Surabaya, AKBP Melatisari berkata, mangsa merupakan anak tiri suspek hasil perkahwinan tidak berdaftar dengan ibunya.
Menurut siasatan, kejadian pertama berlaku pada Januari lalu apabila mangsa dan suspek tidur di bilik yang sama tetapi di atas katil berasingan.
Ketika disoal siasat, suspek mendakwa dia pada mulanya menyangka tubuh yang berada di atasnya ialah bantal peluk.
"Saya sangka itu bantal peluk," dakwanya kepada polis.
Bagaimanapun, polis memaklumkan suspek tetap meneruskan perbuatannya walaupun menyedari individu berkenaan ialah anak tirinya.
Siasatan turut mendapati mangsa pernah cuba melawan, namun diugut akan dipukul sekiranya enggan menurut atau mendedahkan kejadian itu kepada ibunya serta orang lain.
Akibat ketakutan dan tekanan yang dialami, mangsa memilih untuk berdiam diri selama beberapa bulan.
Keadaan itu dipercayai menyebabkan suspek semakin berani dan mengulangi perbuatan tersebut hampir setiap minggu sehingga empat kali, sebelum mangsa disahkan hamil lima bulan.
Suspek akhirnya diberkas di kediamannya pada 17 Julai lalu dan kini ditahan bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan sedang dikendalikan Polis Surabaya mengikut peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak. - Agensi