JAKARTA - Lapan tahun disangka sudah meninggal dunia akibat bencana gempa bumi dan tsunami di Palu, Indonesia, seorang lelaki akhirnya pulang ke pangkuan keluarga.
Namun, kepulangannya menyimpan kisah pilu apabila insan pertama yang dicarinya sudah tiada.
Jumaidin, 26, yang dilaporkan terkorban dalam bencana pada 2018, mengejutkan keluarganya apabila muncul di rumah mereka di Desa Bongka Makmur, Sulawesi Tengah, kira-kira dua minggu lalu.
Kakaknya, Mahania, 33, berkata, keluarga pada mulanya sukar mempercayai lelaki yang muncul di hadapan mereka benar-benar Jumaidin.
"Pada mulanya kami tidak percaya, tetapi selepas melihat giginya, kami yakin dia memang adik kami," katanya kepada Kompas.com pada Khamis.
Bagaimanapun, suasana pertemuan bertukar sebak apabila Jumaidin bertanyakan keberadaan bapa mereka tanpa mengetahui lelaki itu sudah meninggal dunia kira-kira tiga tahun lalu.
Menurut Mahania, bapanya berulang kali pergi ke Palu untuk mencari Jumaidin selepas bencana, namun usaha tersebut tidak berhasil.
Keluarga akhirnya menerima berita kematiannya sehingga sijil kematian dikeluarkan, selain mengadakan majlis tahlil selama 40 hari dan menyedekahkan pakaian miliknya.
Meskipun begitu, Mahania berkata, bapanya pernah menyimpan harapan bahawa Jumaidin masih hidup kerana mereka tidak pernah menemukan jasadnya.
Hilang ingatan selepas bencana
Berdasarkan cerita Jumaidin kepada keluarga, dia tertimpa runtuhan ketika bencana melanda Palu sebelum diselamatkan seorang rakan dan dibawa ke Morowali.
Dia dilaporkan tidak sedarkan diri selama kira-kira sebulan akibat kecederaan serius, terutama pada kepala.
Selepas sedar, Jumaidin mengalami masalah hilang ingatan sehingga tidak mengenali dirinya sendiri dan terlupa alamat rumahnya.
Individu yang menyelamatkannya kemudian membantu menguruskan dokumen pengenalan diri, termasuk kad pengenalan dan pendaftaran keluarga.
Dia kemudian bekerja di Morowali sebelum kembali ke Palu pada 2023 dan memperoleh pekerjaan di sebuah pusat mencuci kereta.
Selepas bertahun-tahun hidup tanpa mengetahui asal usulnya, ingatan Jumaidin mula kembali apabila terlihat video sebuah jambatan di kawasan Bongka menerusi TikTok.
Merasa lokasi itu seperti pernah dikenalinya, dia mencari maklumat lanjut melalui internet sebelum dibantu seorang rakannya menjejaki kampung halaman.
Pertemuan semula itu membawa kegembiraan bercampur kesedihan kepada keluarga yang sudah lapan tahun meratapi kehilangannya.
Walaupun kembali menemui keluarga, Jumaidin memilih meneruskan kehidupan di Palu kerana sudah mempunyai pekerjaan dan rakan di sana.
Bagaimanapun, dia berjanji akan pulang mengunjungi keluarganya apabila mempunyai masa terluang.
Bagi keluarganya, kepulangan itu menjadi pengakhiran kepada penantian panjang, walaupun bapanya tidak sempat menyaksikan Jumaidin kembali dengan selamat. - Agensi