KOTA BHARU - Dalam kesibukan merawat pesakit, lebih 100 doktor, jururawat dan petugas kesihatan dari seluruh negeri ‘turun gelanggang’ menyertai sukan paintball anjuran As Salam Dialisis Sdn Bhd (As Salam Dialisis), khusus untuk menghargai jasa warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Program julung kali itu berlangsung di Qelate Paintball Field, Kampung Pulau, Kubang Kerian pada Jumaat dengan penyertaan 20 pasukan.
Peserta terdiri daripada warga Hospital Pasir Mas, Hospital Tanah Merah, Hospital Machang, Hospital Kuala Krai, Hospital Bachok, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).
Pengarah Urusan As Salam Dialisis, Muhammad Ali Najmuddin Hisham Zuhudy berkata, penganjuran itu merupakan inisiatif pihaknya menghargai kakitangan KKM atas khidmat serta komitmen mereka kepada masyarakat.
“Kami mahu memberi mereka ruang berehat serta bergembira di luar suasana kerja.
“Pada masa sama, kami mahu mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga kesihatan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, pemilihan paintball memberi peluang kepada setiap peserta melakukan aktiviti yang memerlukan kerjasama, komunikasi dan semangat berpasukan.
“Selain mengeratkan hubungan, kami juga mahu petugas kesihatan melepaskan sedikit tekanan selepas penat bekerja,” katanya yang juga bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Putera, Besut, Terengganu.
Berkongsi pengalaman
Muhammad Ali yang mempunyai latar belakang kejuruteraan perisian dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan berkata, pengalaman dalam bidang teknologi turut mendorong pihaknya memperkemas sistem pengurusan operasi As Salam Dialisis.
Menurutnya, sejak mula terlibat dengan syarikat itu pada 2022, antara fokusnya adalah untuk memastikan sistem serta pengurusan pusat dialisis diperkemaskan sebelum operasi dikembangkan.
“Ketika saya mula terlibat pada 2022, As Salam Dialisis hanya mempunyai satu pusat sahaja iaitu di Tanah Merah sebelum pusat kedua dibuka di Jelawat, Bachok.
“Kami juga membangunkan sistem dalaman sendiri bagi membantu pengurusan dan pemantauan operasi supaya petugas kesihatan dapat memberi lebih tumpuan kepada pesakit,” katanya.
Katanya, kini As Salam Dialisis turut berkongsi pengalaman dengan pihak yang mahu memahami aspek pembukaan dan pengurusan pusat hemodialisis.
“Daripada pengalaman kami, pengurusan pusat dialisis bukan sekadar menyediakan mesin dan premis, sebaliknya melibatkan pematuhan, tenaga kerja terlatih, pengurusan pesakit, stok, operasi dan kewangan yang perlu bergerak seiring,” katanya.
As Salam Dialisis turut melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk saringan kesihatan dan pemeriksaan perubatan untuk warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, baru-baru ini.
Muhammad Ali berkata, pihaknya juga merancang beberapa lagi inisiatif pada masa akan datang termasuk hasrat membawa beberapa pesakit menunaikan umrah pada penghujung tahun ini.
“Insya-ALLAH, kami bercadang membawa beberapa pesakit menjadi tetamu ALLAH di Makkah pada akhir tahun ini.
"Bagaimanapun, jumlahnya masih dalam perancangan,” katanya.
Aktiviti bersama
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan CKAPS Kelantan, Dr Mohd Rusydan Alias berkata, aktiviti seumpama itu membantu petugas kesihatan mengurangkan tekanan selepas berdepan rutin kerja yang mencabar.
“Selepas penat bekerja, staf dapat bergembira dan melakukan aktiviti bersama.
“Sedikit sebanyak ia membantu mengurangkan stres di tempat kerja,” katanya.
Bagi Ketua Jururawat HRPZ II, Hasnah Che Mat, 53, pengalaman berkhidmat selama 30 tahun dalam bidang kejururawatan membuatkannya melihat aktiviti sebegitu sebagai satu keperluan untuk petugas kesihatan.
Katanya, pada awalnya, dia berasa sedikit berdebar untuk mencuba paintball, namun keterujaan melakukan aktiviti berbeza bersama rakan setugas mengatasi perasaan itu.
“Walaupun tidak pandai bermain, saya sedaya upaya mencuba juga.
“Aktiviti seperti ini memang diperlukan kerana tugas sebagai jururawat semakin mencabar dengan beban kerja yang banyak,” katanya.