KADANG-KADANG kita terlalu selesa dengan sesuatu yang sudah biasa sehingga terlupa keadaan boleh berubah dalam sekelip mata. Selatan Thailand misalnya.
Bagi rakyat Malaysia khususnya penunggang motosikal, lokasi seperti Hatyai, Danok, Betong, Golok dan kawasan sekitarnya seolah-olah halaman rumah sendiri. Hujung minggu, hidupkan enjin bawa pasport, isi minyak motor dan terus ride melintasi sempadan.
Tetapi apabila 51 insiden keganasan termasuk letupan bom berlaku secara serentak di Narathiwat, Yala dan Pattani dalam tempoh hampir dua jam malam kelmarin, mungkin sudah tiba masanya kita berhenti seketika dan bertanya, perlukah kita pergi ride selatan Thailand sekarang?
Mungkin ada yang telah merancang dua atau tiga bulan lepas untuk masuk border. Tetapi susulan serangan terbaru ini, fikirkan risiko lebih besar.
Serangan yang dipercayai didalangi kumpulan pemisah itu bukan kecil-kecilan. Ia membabitkan pengeboman, pembakaran pejabat dan kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan, letupan kedai serbaneka serta pembakaran tayar.
Syukur, tiada rakyat Malaysia dilaporkan menjadi mangsa. Namun, jangan tunggu sehingga ada rakyat kita menjadi korban sebelum menganggap keadaan itu serius.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, sudah menyarankan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke selatan Thailand jika tiada urusan penting. Nasihat itu sebenarnya mudah difahami. Kalau tidak perlu pergi, jangan pergi dahulu.
Hatyai dan kawasan sekitarnya sudah menjadi destinasi cukup dekat dengan rakyat Malaysia. Makanan halal mudah diperoleh, kos penginapan berpatutan dan banyak lokasi menarik untuk diterokai.
Tetapi keadaan keselamatan tidak boleh diukur berdasarkan pengalaman perjalanan sebelum ini. Soal nyawa tidak boleh kompromi. Apa salahnya tangguh dahulu sehingga keadaan benar-benar terkawal.
Dalam masa sama, penunggang motosikal Malaysia juga perlu melakukan muhasabah terhadap beberapa insiden membabitkan tindakan penguat kuasa Thailand.
Ada pempengaruh mendakwa dirinya dan rakan-rakan konvoi dicari kesalahan sehingga disaman ketika berada di Hatyai, lalu menggesa rakyat Malaysia memboikot perjalanan bermotosikal ke Thailand.
Jika benar berlaku ketidakadilan, dakwaan itu wajar disiasat melalui saluran yang betul. Tetapi jangan pula setiap saman dianggap sebagai bukti polis negara jiran sengaja mencari pasal.
Kita perlu membezakan antara ditindas dengan didapati melakukan kesalahan. Lebih penting, jangan membawa mentaliti jalan raya Malaysia ke negara orang.
Di Malaysia mungkin kita biasa mencelah, memotong atau mengambil mudah sesetengah peraturan. Tetapi apabila memasuki Thailand, undang-undang negara itu tetap undang-undang. Kita bukan tetamu yang diberikan imuniti.
Penunggang motosikal Malaysia sebenarnya mempunyai peluang menjadi duta kecil negara setiap kali merentasi sempadan. Tetapi peluang itu boleh bertukar menjadi mimpi buruk jika segelintir memilih untuk berlagak seolah-olah peraturan hanya untuk orang lain.
Jangan kerana mahu seronok beberapa hari, kita menanggung masalah yang panjang dan jangan kerana seorang dua penunggang melakukan kesalahan, seluruh komuniti pula dilabel buruk.
Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kesalahan individu mesti dipertanggungjawabkan kepada individu. Namun, seluruh komuniti juga perlu belajar daripada kesilapan.
Prinsipnya mudah, hormati undang-undang, hormati budaya dan hormati pengguna jalan raya negara orang.
*Azmi Tarmizi ialah Editor Eksekutif di Sinar Harian. Anak jati Felda Soeharto KKB ini gemar makan sup keting di Betong